BAM belum buat keputusan mengenai cadangan sistem pemarkahan baharu

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) masih belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan sistem baharu pemarkahan pasca Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan Paralimpik.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, walaupun anggota BAM telah berbincang mengenai cadangan itu, tiada keputusan dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM ke-76 pada Sabtu.

Beliau berkata, para jurulatih serta pemain sedang berbincang berhubung sistem baharu yang dicadangkan oleh persatuan badminton Indonesia dan badminton Maldives baru-baru ini, yang mendapat persetujuan Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Poul-Erik Hoyer.

“Ia masih belum dibawa kepada perbincangan di peringkat pengurusan,” katanya ketika ditemui selepas AGM.

Katanya, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann dan Pengarah Teknikal Skuad Badminton Remaja Kebangsaan, Datuk Misbun Sidek akan memberikan pandangan masing-masing berhubung perkara itu, sebelum pihak persatuan menganjurkan undian mengenainya di AGM BWF yang dijadualkan berlangsung secara maya pada 22 Mei.

Menurut laporan media asing, BWF akan membuat undian pada Mei bagi menukar sistem pemarkahan semasa, yakni format terbaik daripada tiga perlawanan dengan markah kemenangan 21 kepada format terbaik daripada lima perlawanan dengan markah kemenangan 11 bagi menambah keterujaan dan menjadikan ia lebih mesra siaran televisyen.

Bagaimanapun bagi menjayakan pelaksanaan rancangan ini, ia memerlukan sokongan dua pertiga daripada anggota AGM BWF.

Cadangan yang sama pernah dikemukakan pada tahun 2014 dan 2018, namun ia gagal mendapat sokongan yang dikehendaki daripada anggota BWF. - Bernama

Artikel Berkaitan: