X

Kindly register in order to view this article
!

Ingkar PKPD: Remaja 18 tahun dikompaun RM3,000

A
A

KUANTAN - Seorang remaja dikenakan tindakan kompaun RM3,000 selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Taman Mentiga Jaya, Pekan pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, perbuatan remaja berusia 18 tahun itu dikesan anggota polis dan pasukan Pemantau Team Alpha Covid-19 pada jam 8.40 malam.

"Remaja itu didapati telah melompat keluar dari halangan dan kawat berduri yang telah dipasang di kawasan PKPD Taman Mentiga Jaya menuju ke perumahan Dato Shahbandar Pekan.

"Remaja tersebut telah melakukan pelanggaran perintah PKPD dan kompaun telah dikeluarkan terhadapnya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kompaun itu dikenakan di bawah Peraturan 6 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan)(No.3) 2021.

Dalam pada itu, Mohd Razli menasihatkan penduduk di kawasan PKPD supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pada Khamis, lima lokaliti membabitkan Taman Mentiga Jaya, Taman Perdana, Perkampungan Peramu Jaya 3, Taman Sepekan Makmur dan Kampung Pulau Serai, Pekan telah dilaksanakan PKPD selama 14 hari.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mendapati kelima-lima lokaliti itu adalah kawasan tempat tinggal pekerja kilang yang mencetuskan Kluster Teknologi Peramu Jaya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!