PRK Semenyih, Cameron Highlands berbeza: Shahrir Samad

Shahrir
A
A

JOHOR BAHRU - Situasi dialami UMNO-BN untuk PRK DUN Semenyih diakui adalah berbeza dengan Parlimen Cemeron Highlands yang memihak kepada parti tersebut, baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, keputusan pertembungan antara PH dan BN yang masih tidak boleh diramal itu tetap akan menyaksikan pertembungan sengit.

“Situasinya berbeza, kerana ketika Cameron Highlands, kerajaan negerinya masih BN tetapi Persekutuan adalah PH. Berbeza di Semenyih, dua-dua pihak adalah kerajaan PH. Yang pasti pertembungan ini akan sengit.

“Kalau nak kata mustahil menang, kita tidak boleh berfikir sedemikian, politik ini tidak boleh diramal, lagi pun banyak sebab mengapa orang untuk menilai. Kita kena ingat ada yang sudah tidak percaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar PT3 dan UPSR Biro Pendidikan Umno Bahagian Johor Bahru, di Dewan Orang Ramao Skudai Kanan di sini, hari ini.

Menurutnya, kurangnya impak ditonjolkan PH dalam pentadbirannya sejak menang PRU lalu diyakini mampu menjadi senjata peralihan rakyat daripada memilih parti tersebut.

Shahrir bersama pimpinan Umno Bahagian Johor Bahru bergambar bersama pelajar cemerlang yang menerima penghargaan pada majlis berkenaan.
Shahrir bersama pimpinan Umno Bahagian Johor Bahru bergambar bersama pelajar cemerlang yang menerima penghargaan pada majlis berkenaan.

“Sudah ada golongan yang menolak kerana tidak percaya. Mungkin salah satunya kerana mereka nampak apa PH buat, tiada impak kepada kerajaan.

“Pentadbiran yang sama dan tidak berubah. Selain itu, calon PH di sana ialah menantu kepada bekas Adun turut disifatkan sebagai kroni, orang nampak itu,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrir turut menyindir tindakan segelintir menteri yang sengaja menunjuk-nunjuk kebaikan untuk menguatkan kepentingan PH dan melarikan isu.

“Baru-baru ini, kita tengok Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) menyerahkan replika cek kepada Menteri Pendidikan (Maszlee Malek) dikatakan untuk tujuan pendidikan tahfiz.

“Mana pernah kerajaan buat begitu. Kalau nak bagi duit, salur terus ke jabatan. Bagi 'mock check' ini kalau nak bagi sumbangan dekat persatuan biasa bolehlah, sengaja nak tutup kelemahan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, seramai 50 pelajar terbaik peperiksaan PT3 dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dari Parlimen Johor Bahru menerima sijil dan hadiah kecemerlangan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia