X

Kindly register in order to view this article
!

[EKSKLUSIF] ‘Ada gerakan jatuhkan Zahid’

Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (kiri) bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi - Foto Ihsan Facebook Zahid Hamidi
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah mengesahkan terdapat usaha menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas beliau, perkara itu bukan sesuatu yang mengejutkan, malah ia lumrah bagi sesiapa sahaja yang memegang jawatan tertinggi dalam parti yang berasaskan kaum Melayu itu.

“Saya dengarlah perkara itu, berlaku sepanjang masa. Ini orang Melayu. Sapa naik mesti dia tarik turun. Saya tak pernah terlibat dalam soal macam ini. Kalau saya nak lawan, secara terbuka saya lawan,” katanya ketika ditemui Sinar Ahad baru-baru ini.

Ketika ditanya sama ada usaha untuk menjatuhkan Ahmad Zahid itu bagi membolehkan UMNO kembali menyertai dan menyokong Perikatan Nasional (PN), Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, ia tidak akan berjaya.

“Tak mungkin, tidak mungkin... dua atau tiga kerat itu bolehlah menyokong tetapi orang memang tak mahu.

“Sebab daripada 191 bahagian, 147 meluluskan usul tidak mahu ada kerjasama dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Ini bukan kecil... 147 bahagian seluruh negara menolak. Dia nak lawan perasaan itu, saya rasa susah.

“Ini bukan kita kipas, kita hasut. Mereka yang menolak. Orang bawah tak terima. Macam saya kata tadi, ular lidi macam mana boleh nak makan ular sawa. Jadi nak tekan orang yang lebih besar, yang lebih lama. Saya rasa tak diterima.

“Masyarakat Melayu tak terima perkara macam itu. Kita selalu hormat dekat orang tua. Hormat dekat orang yang lebih pandai. Ini budaya kita. You datang semalam, you hari ini nak ambil alih. Tak dapat. Saya berpendapatlah,” ujar beliau.

Tegasnya, UMNO mempunyai kekuatan tersendiri sebagai sebuah parti yang berakar umbi di negara ini dan tidak sepatutnya tunduk kepada parti serpihan.

“Saya rasa UMNO susah nak rombak. Pas sudah cuba buat itu. Pas pun serpihan daripada UMNO juga. Semua ini serpihan daripada UMNO.

“Pas keluar daripada UMNO dalam tahun 1951 dan Bersatu baru dua tahun setengah saja. Beberapa orang keluar dan selepas pilihan raya dia menang 13 kerusi.

“Tetapi 15 daripada Ahli Parlimen UMNO lompat dekat dia. Itu kekuatan yang ada, tetapi di bawah tiada. Macam Mustapha (Datuk Seri Mustapha Mohamad) dari Kelantan, dia menang di Jeli, tapi dia budak Bachok.

“Dia balik ke Bachok tak ada pengikut. Dia sekarang balik ke Jeli, di kawasan dia menang. Orang tak ikut dia kerana mereka semua orang UMNO.

“Jadi di situ dia tak kuat. Dan kita nak UMNO sebagai kumpulan Melayu mempunyai asas yang kuat. Kalau tak ada asas, susah kita nak jalankan kerja,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!