KPN dan Menteri...

Gambar dari kiri: Abdul Hamid, Hamzah
Gambar dari kiri: Abdul Hamid, Hamzah
A
A
A

INI ada satu lagi isu yang Belalang sendiri tidak faham. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan terdapat arahan penangguhan pertukaran pegawai-pegawai kanan seperti yang tular di media sosial, sejak Jumaat.

Menurut Abdul Hamid, arahan tersebut dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri pada saat-saat akhir membabitkan pertukaran jawatan pegawai-pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuklah ketua polis negeri.

Susulan itu, Abdul Hamid berkata beliau akan berjumpa dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan berhubung kontroversi tersebut.

Katanya, sebagai Ketua Polis Negara, beliau mempunyai kuasa untuk mengawal selia PDRM.

“Sepatutnya (arahan tersebut) dilaksanakan oleh saya sebagai Ketua Polis Negara dan undang-undang menyatakan bahawa saya (mempunyai kuasa) untuk mengawal selia PDRM dan ia adalah tanggungjawab saya.

“Saya telahpun mengeluarkan arahan pertukaran pegawai untuk kebaikan semua.

“Tidak ada apa-apa yang luar biasa tetapi pada saat-saat akhir ketika saya bercuti, tiba-tiba terdapat arahan menyatakan ia hendaklah ditangguhkan.

“Jadi saya akan berjumpa dengan beliau (Menteri Dalam Negeri) dan akan memberikan penjelasan kenapa ia perlu diteruskan,” kata Abdul Hamid kepada para pemberita.

Artikel Berkaitan:

Setahu Belalang inilah kali kedua dalam tempoh terdekat kelihatan seperti wujudnya 'pertentangan pendapat' di antara KPN dan Menteri Dalam Negeri.

Kali pertama apabila Abdul Hamid mendedahkan tentang kartel yang meresapi Bukit Aman.

Selepas beliau membuat pendedahan mengenai kontroversi kartel itu, Hamzah berkata inilah pertama kali beliau mendengar mengenai isu kartel di Bukit Aman.

Dan beliau meminta agar Abdul Hamid memberi laporan lengkap berhubung perkara itu kepada Suruhanjaya Polis yang mana Hamzah adalah pengerusi.

Isu yang dibangkitkan oleh Hamzah ialah kenapa beliau tidak terlebih dahulu dimaklumkan tentang isu itu sebelum ia didedahkan kepada umum.

Dan rasanya kali ini pun lebih kurang sama. Beliau mungkin tidak dirunding terlebih dahulu berkenaan pertukaran pegawai-pegawai tinggi polis berkenaan.

PDRM melakukan rombakan melibatkan pertukaran pegawai-pegawai kanan di kontinjen negeri dan ibu pejabat polis Bukit Aman berkuat kuasa 12 April.

Senarai pertukaran terbaharu yang dikeluarkan Bukit Aman melibatkan 71 pegawai kanan, antaranya Ketua Polis Kuala Lumpur, Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.

'Pertembungan kuasa' di antara penjawat awam dan orang politik bukanlah perkara baru di negara ini tetapi jika zaman dahulu yang akan menang akhirnya orang politik.

Tapi hari ini di era apa sahaja keputusan dan pelaksanaan arahan dengan pantas menjadi viral, sistem periksa dan imbang menjadi semakin meluas dan kini ia 'diperiksa' oleh orang awam.

Dan oleh kerana situasi hari ini sedemikian rupa, persepsi ramai ialah campur tangan politik tidak akan disambut dengan tangan yang terbuka sekaligus menjadikan orang politik tidak lagi selalunya menang.

Belalang sepertimana khalayak ramai juga merasakan yang urusan dalam PDRM akan nampak lebih elok dan bersih tanpa adanya campurtangan orang politik.

BELALANG - Hanya komen tanpa masuk campur urusan orang...