Pusat Islam An-naim berwajah baharu

Dr Hussamuddin (dua, kanan) turut merasmikan surau sekolah yang kini dikenali sebagai Pusat Islam An-naim.
Dr Hussamuddin (dua, kanan) turut merasmikan surau sekolah yang kini dikenali sebagai Pusat Islam An-naim.
A
A
A

KOTA BHARU – Kesulitan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat untuk menunaikan solat berjaya diselesaikan setelah kerja naik taraf surau dijangka siap, menjelang dua minggu lagi.

Bukan sahaja berwajah baharu, ia kini dikenali sebagai Pusat Islam An-naim, mampu menampung seramai 800 jemaah dalam satu-satu masa.

Pusat Islam yang turut dilengkapi dengan kemudahan penghawa dingin, mini pepustakaan, kios dan tandas akan memberi keselesaan kepada pelajar untuk menunaikan ibadah.

Sementara itu, Pengetua, Mustaffa Chik berkata, ini merupakan jasa Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah kerana berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM 143,000.

Menurutnya, dana ini membolehkan kerja naik taraf dijalankan selain menambah fasiliti untuk kemudahan pelajar, guru dan kakitangan sekolah.

Pengetua sekolah, Mustaffa Chik (dua, kiri) bersama guru-guru SMKA Naim Lilbanat teruja ketika melihat proses naik taraf Pusat Islam An-naim mencapai 90 peratus.
Pengetua sekolah, Mustaffa Chik (dua, kiri) bersama guru-guru SMKA Naim Lilbanat teruja ketika melihat proses naik taraf Pusat Islam An-naim mencapai 90 peratus.

“Lebih membanggakan apabila pusat Islam ini memenangi Anugerah Surau Imarah Sekolah-sekolah (Asiss) peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu.

“Pelbagai persiapan dibuat antaranya menyentuh aspek keceriaan dan pengisian menjelang pertandingan peringkat negeri Mei ini,” katanya, selepas Mesyuarat Agung PIBG SMKA Naim Lilbanat kali ke33, semalam.

Artikel Berkaitan:

Majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub turut dihadiri Setiausaha Bersatu Kota Bharu, Hashim Abdul Hamid.

Berbekalkan kemudahan ini, Mustaffa berharap, pelajar dapat menunaikan ibadah dengan lebih khusyuk dan menjadi pemangkin kepada kejayaan akademik serta kokurikulum sekolah.

Beliau berkata, pihak sekolah berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh pelajar tingkatan tiga tahun lalu, apabila 107 daripada 165 calon mendapat semua A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Guru-guru tidak melepaskan peluang bergambar dengan tetamu kehormat.
Guru-guru tidak melepaskan peluang bergambar dengan tetamu kehormat.

Begitu juga dengan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semesta tiga katanya, ia menunjukkan peningkatan apabila gred purata sekolah (GPS) meningkat daripada 1.88 kepada 2.51 peratus.

Katanya, pihak sekolah juga optimis pelajar sekolah ini akan mencipta kejayaan sama dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang akan diumumkan bulan depan.

Dalam kokurikulum pula beliau berkata, seorang pelajar sekolah ini mengharumkan nama sekolah apabila menjadi juara Pertandingan Taekwondo peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Malah katanya, pelajar tingkatan satu itu dipelawa untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan yang sama di Brazil.

“Selain itu, seorang pelajar sekolah ini menjadi johan syarahan agama dalam Pertandingan Majlis Tadarus al-Quran dan Festival Nasyid peringkat kebangsaan.

Pelajar tingkatan dua SMKA Naim Lilbanat menyambut kehadiran tetamu kehormat selepas majlis perasmian Pusat Islam An-naim.
Pelajar tingkatan dua SMKA Naim Lilbanat menyambut kehadiran tetamu kehormat selepas majlis perasmian Pusat Islam An-naim.

“Malah, seorang lagi pelajar tingkat empat dipilih mewakili negara dalam Program Sakura Science Exchange yang diadakan di Tokyo, Jepun,” katanya.

Bukan itu sahaja beliau berkata, sekolah ini bakal menerima 12 pelajar angkat dari negara matahari terbit, pada 8 hingga 12 Mac ini.

Sementara itu, Pengerusi PIBG sekolah, Mhd Roslaile Mohd Noor berkata, kecemerlangan itu lahir atas kerjasama ditonjolkan oleh pelajar, ibu bapa dan guru.

“Ini merupakan kejayaan semua pihak dalam membangunkan pendidikan pelajar selain usaha guru dalam meningkatkan kecemerlangan akademik.

“Tanpa sokongan ibu bapa dan guru, kita tidak dapat mengecapi kejayaan ini dan menjadi antara sekolah terbaik di peringkat negeri mahupun Kebangsaan,” katanya.