Misteri audio dan realiti baharu

A
A
A

PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) yang diharap memberi titik noktah kepada kemelut dan dilema parti itu untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tampak seperti tidak menjadi kenyataan.

Dua minggu selepas tamat PAU, pemimpin UMNO masih berbahas dan berbalas sindiran mengenai kesan keputusan PAU yang menolak kerjasama dengan Bersatu, PKR dan DAP pada PRU15.

Gelombang mendesak perubahan menjadi kuat apabila muncul rakaman perbualan telefon yang dikatakan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan kepentingan hasil keputusan PAU.

Suara mirip Anwar tampak puas hati dengan hasil keputusan menolak Bersatu. Ia seolah-olah mengiyakan dakwaan ada rundingan dengan Anwar bagi memastikan UMNO/BN bertanding solo.

Pertandingan tiga penjuru memberi peluang kepada Pakatan Harapan mengulangi pencapaian PRU lalu kerana PN dan BN akan memecahkan solidariti undi Melayu konservatif serta sederhana.

Kemunculan rakaman audio itu memberi dilema baharu kepada UMNO. Jika ia tulen, maka akan menimbulkan pertanyaan apakah naratif menuduh pemimpin UMNO telah ‘dibeli’ Bersatu dicipta untuk menutup hubungan gelap UMNO-Anwar.

Walaupun sukar untuk menentukan keaslian rakaman tersebut kecuali ditemui pelakunya, banyak pihak enggan menerima penafian secara membuta tuli lagi. Audio itu tampak sangat ‘real’ dan ‘meyakinkan’ untuk diketepikan begitu sahaja.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainal Abidin, sudah ada dua tiga kes memperlihatkan kemungkinan kerjasama ‘pintu belakang’ antara pemimpin UMNO tertentu dan Anwar ada kebenaran. Zahidi secara terbuka menyebut mengenai surat yang dikatakan ditandatangani menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri yang jelas bertentangan dengan keputu-san PAU 2019.

Artikel Berkaitan:

Di sebalik segala krisis kepimpinan parti yang serius itu, ada krisis lebih serius sedang melanda UMNO. Ahli UMNO masih dalam zon selesa dengan dakwaan tiga juta ahlinya adalah aset utama yang akan membantu mereka memenangi PRU15.

Tidak dapat dinafikan, bilangan ahli yang besar adalah satu kelebihan kerana selalunya ahli akan mengundi parti mereka. Namun, ia juga bermakna UMNO masih dalam kerangka politik lama berasaskan pengkaderan.

Sejak 2004, kerangka politik berasaskan kepimpinan atau leadership telah mula memposisikan diri sebagai faktor utama dalam menentukan kemenangan.

Kemuncaknya pada 2018 apabila faktor trust kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengatasi Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menentu swing undi kepada PH. BN mengalami trust deficit apabila hanya meraih sekitar empat juta undi berbanding sekitar lima juta orang pada PRU13.

Mengambil kira undi ahli UMNO sekitar tiga juta orang yang belum tentu sahih tanpa pemutihan yang jelas, maka BN akan berdepan pengurangan undi yang banyak jika masih bergantung kepada kerangka politik pengkaderan semata-mata.

Malah, pada PRU14, Pas juga mendapat jumlah undi agak signifikan berbanding jumlah ahlinya. Pas hanya mempunyai ahli aktif sekitar 800,000 orang tetapi mendapat sokongan dua juta pengundi.

Ia memberi gambaran ketika UMNO masih terlalu bertaut pada soal akar umbi, parti lain termasuk Perikatan Nasional yang baharu ditubuhkan telah mengubah fokus kepada pengundi non-partisan yang merangkumi hampir 2/3 jumlah pengundi.

Justeru, untuk berdepan PRU15, yang perlu UMNO bimbang bukan Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Bersatu tetapi majoriti pengundi terutama orang Melayu di luar parti. Jika mereka masih belum kembali percaya UMNO, maka parti itu harus bersedia mengambil masa lebih panjang untuk kembali menjadi parti peneraju.

Audio itu tampak sangat ‘real’ dan ‘meyakinkan’ untuk diketepikan begitu sahaja.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)