X

Kindly register in order to view this article
!

Manfaat kerjasama China-Iran

A
A

HUBUNGAN diplomatik China-Iran bermula pada 1937. Tamadun China dan Parsi sudah mempunyai sejarah pertukaran budaya, politik dan ekonomi yang lama melalui Jalan Sutera sejak 200 SM lagi. Sehingga hari ini, China dan Iran masih mengekalkan kerjasama ekonomi serta strategik yang mesra.

Pada 26 Mac 2021, Iran dan China menandatangani perjanjian meningkatkan kerjasama dan hubungan perdagangan untuk 25 tahun ke depan. Perjanjian Kerjasama Strategik atau Strategic Cooperation Agreement (SCA) dikatakan mampu membantu meningkatkan hubungan bilateral antara Beijing dan Tehran.

SCA telah mendapat pelbagai reaksi. Bagi mereka yang menyokong perjanjian itu memuji kerana ia menandakan permulaan kerjasama erat antara China dan Iran untuk mengurangkan pengaruh dan pergantungan kepada hegemoni Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat.

Bagi Iran, China dilihat sebagai peluang membolehkannya berinteraksi dalam politik antarabangsa secara lebih aktif kerana Iran sudah dikenakan sekatan dan pengasingan diplomatik oleh AS.

Oleh itu, kerjasama perdagangan dengan China amat penting bagi Iran yang dilemahkan oleh sekatan dan pengasingan diplomatik AS serta negara-negara ahli Kesatuan Eropah.

Setelah lapan tahun cuba mempengaruhi Barat untuk mengubah pendirian terhadap Iran tidak menunjukkan apa-apa kesan positif, maka Iran perlu mencari alternatif baharu bagi membolehkan kelangsungan politik pada peringkat antarabangsa.

China mewakili kuasa perimbang terhadap hegemoni AS yang boleh mendatangkan manfaat dalam hubungan Iran-AS. Iran boleh menggunakan China sebagai ‘cip tawar-menawar’ dalam rundingan Iran-AS.

Dengan adanya kerjasama erat antara Tehran-Beijing menyebabkan Washington DC akan lebih berhati-hati dan tidak terlalu menekan agendanya yang dianggap tidak mesra terhadap Iran kerana AS sedar Iran turut mempunyai sokongan daripada salah satu kuasa besar iaitu China.

Namun, terdapat juga reaksi negatif yang melahirkan kebimbangan bahawa perjanjian itu akan mengancam kepentingan AS di Asia Barat dan seterusnya menyebabkan rantau Asia Barat menjadi kawasan persaingan kuasa AS dan China.

Segelintir penduduk Iran turut melahirkan kebimbangan kerjasama erat dengan China akan menyebabkan Iran dibanjiri pekerja dan barangan China. Mereka juga mendakwa lebih banyak bandar China akan dibina sehingga mengganggu-gugat budaya dan tradisi masyarakat tempatan.

Malah, ada warga Iran yang mengggelar perjanjian China-Iran dengan jolokan 'Perjanjian Baharu Turlmanchay’. Perjanjian Turlmanchay berlaku pada Februari 1828.

Kerajaan Qajar Iran ketika itu terpaksa tunduk dan menyerah wilayah kepada kerajaan Czar Rusia. Dalam sejarah Iran, Perjanjian Turlmanchay membawa maksud kerugian dan penghinaan Iran kepada kuasa luar. Mereka mendakwa, melalui perjanjian itu kerajaan Iran telah ‘menjual Iran’ kepada China.

Timbul persoalan sama ada perjanjian itu benar-benar mendatangkan faedah kepada Iran dan China? Bagi Iran, ia memberikan beberapa faedah – kerjasama stabil dengan China bermaksud pasaran minyak yang stabil ketika berhadapan sekatan AS yang telah merugikan pendapatannya.

Ia juga membantu memperkukuh imej Iran yang sedang menghadapi cabaran akibat pengasingan diplomatik dikenakan AS.Bagi China, ia memberi faedah serupa iaitu kepentingan dalam sumber minyak dan gas asli, pasaran asing bagi barangan buatan China dan membantu merealisasikan Belt and Road Initiative (BRI) di rantau Asia Barat serta pengembangan jaringan global China.

Kepentingan Iran kepada China menjadi lebih ketara selepas pengunduran tentera AS dari Afghanistan (bersempadan dengan Iran) yang akan menyaksikan peningkatan pelaburan China di Afghanistan.

Namun, China perlu berhati-hati kerana ia tidak mahu terlalu pro-Iran sehingga merenggangkan hubungannya dengan negara Asia Barat lain terutama Arab Saudi.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!