X

Kindly register in order to view this article
!

NUTP buat laporan polis dakwaan isu perkauman

Aminuddin
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) membuat laporan polis mengenai dakwaan wujud isu perkauman di dalam kesatuan itu yang tular di media sosial baru-baru ini.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang bersama wakil guru NUTP dari seluruh negara hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Sabtu bagi membuat laporan polis berkenaan.

NUTP mendapati tohmahan mengenai isu perkauman di dalam organisasi itu tersebar sejak Februari lalu sebelum tular secara berleluasa ke laman-laman Facebook.

Aminuddin berkata kepada wartawan sebaik laporan polis itu selesai dibuat bahawa NUTP menafikan kewujudan isu perkauman di dalam organisasi itu seperti yang ditularkan di media sosial.

Beliau juga berkata, isu yang sedang tular itu boleh menimbulkan sentimen perkauman di negara ini malah turut akan memberikan persepsi negatif kepada kesatuan yang mewakili guru-guru di seluruh negara itu.

"Jadi saya rasa kita membuat laporan ini untuk menepis dakwaan tersebut dan kita mengharapkan agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan seterusnya dapat membawa mereka yang mewujudkan isu perkauman di negara ini ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata, ada pihak yang membangkitkan isu bagaimana kononnya NUTP dikuasai oleh kaum tertentu sedangkan NUTP majoritinya dianggotai guru-guru Melayu seperti yang tersebar di media sosial.

Aminuddin berkata, beliau sendiri tidak mengetahui siapa dalang di sebalik isu yang sedang tular itu dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan NUTP. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!