X

Kindly register in order to view this article
!

Kes Covid-19 terus meningkat di Thailand

Jumlah keseluruhan jangkitan di Thailand setakat ini ialah 31,658 kes dengan 97 kematian. - Foto 123RF
A
A

BANGKOK - Thailand mencatat 789 kes baharu Covid-19 dengan satu kematian dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu setakat ini ialah 31, 658 dan 97 kematian.

Kes kematian membabitkan seorang lelaki warga emas tempatan berusia 68 tahun dari Nakhon Pathom dengan masalah kesihatan seperti diabetes dan tekanan darah tinggi yang meninggal dunia pada 4 April.

Bagaimanapun, semalam doktor merumuskan bahawa dia meninggal dunia akibat Covid-19.

Daripada 789 kes baharu itu, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) memaklumkan bahawa sejumlah 781 merupakan jangkitan tempatan termasuk 522 yang mendapatkan rawatan di hospital dan 259 melalui pengesanan aktif manakala lapan kes import.

“Penularan terkini itu telah merebak ke Bangkok dan 61 daripada 77 wilayah di Thailand. Kluster baharu itu yang dikaitkan dengan pusat hiburan telah menjangkiti 2,697 orang termasuk 1,058 di Bangkok,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Susulan kenaikan jumlah pesakit Covid-19 di Bangkok dan wilayah berhampiran, kerajaan mengambil langkah membuka hospital medan dalam usaha meningkatkan keupayaan sektor kesihatan.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mewujudkan hospital medan bagi menampung peningkatan jumlah pesakit Covid-19 di ibu negara.

Gabenor Aswin Kwanmuang berkata, hospital medan boleh menampung sehingga 5,000 pesakit dan boleh meluaskannya kepada 10,000 orang.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Leftenan Jeneral Kongcheep Tantravanich berkata, kementerian itu bercadang mewujudkan 10 hospital medan di Bangkok dan wilayah berhampiran untuk menyediakan sejumlah 3,000 katil.

Sementara itu, Thailand pada Sabtu menerima sejumlah sejuta dos vaksin Covid-19 tambahan jenis Sinovac.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul, menerusi satu hantaran di laman Facebook berkata, vaksin itu akan diagih kepada orang ramai secepat mungkin.

Sementara itu, Pengarah Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO), Dr Withoon Danwiboon berkata, vaksin itu adalah lot terakhir bagi sejumlah dua juta dos yang dibeli daripada syarikat Sinovac Life Sciences Co Ltd dari China. Lot pertama iaitu 200,000 dos telah tiba pada 24 Feb lepas manakala lot kedua sebanyak 800,000 dos diterima pada 22 Mac.

Beliau berkata, Thailand telah memperoleh sejumlah 500,000 dos tambahan vaksin jenis Sinovac yang dijangka tiba pada akhir April untuk menginokulasi kumpulan berisiko tinggi.

Sementara itu, ahli virologi kanan Universiti Chulalongkorn Dr Yong Poovorawan berkata, gelombang baharu Covid-19 di Thailand mungkin mempunyai kaitan dengan ‘strain Kemboja’ yang didapati menular di negara tersebut kira-kira enam minggu lepas.

Beliau berkata, strain Covid-19 yang dikesan di Thailand dalam kalangan pengunjung pusat hiburan malam di Bangkok adalah sepadan dengan strain Kemboja.

“Strain terkini yang dikesan di Thailand tidak sepadan 100 peratus dengan strain British atau lain-lain namun didapati 100 peratus sepadan dengan strain Kemboja,” katanya sambil memetik laporan akhbar The Nation. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!