Lagak rejim Israel

Infrastruktur milik penduduk Palestin yang musnah akibat dibedil rejim Zionis turut menjadi sebahagian daripada siasatan yang akan dilancarkan ICC ke atas jenayah perang Israel. - Foto Agensi
Infrastruktur milik penduduk Palestin yang musnah akibat dibedil rejim Zionis turut menjadi sebahagian daripada siasatan yang akan dilancarkan ICC ke atas jenayah perang Israel. - Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Israel dengan angkuh menyatakan ia tidak akan bekerjasama dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang menyiasat jenayah perang dilakukan rejim Zionis di wilayah Palestin.

Kenyataan itu dikeluarkan menjelang tarikh akhir notis penangguhan yang diberikan pada 9 Mac lalu yang memberikan tempoh sebulan kepada Tel Aviv dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk memaklumkan kepada hakim ICC sama ada ia turut melakukan siasatan sama.

Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang sebelum ini menolak siasatan penuh terhadap kekejaman tentera Israel ke atas penduduk Palestin menyatakan mereka menolak untuk terlibat dengan proses yang akan mengheret rejim Tel Aviv ke muka pengadilan.

Menerusi surat dihantar kepada mahkamah antarabangsa itu, ia dengan selamba menolak dakwaan rejim Zionis melakukan jenayah perang walaupun terdapat bukti jelas menunjukkan penindasan dan pembunuhan yang dilakukan ke atas penduduk Palestin.

Kandungan surat itu juga akan mengulangi pendirian Tel Aviv sebelum ini bahawa tribunal di The Hague itu tidak mempunyai kuasa untuk membuka siasatan tersebut memandangkan Israel bukan anggota ICC.

“Israel komited dengan kedaulatan undang-undang dan berharap mahkamah itu tidak melangkaui perkara tersebut kerana kami tidak mengiktiraf kuasa tribunal tersebut,” ujar kenyataan pejabat Netanyahu tersebut.

Pada awal bulan lalu, Ketua Pendakwa Raya ICC, Fatou Bensouda melancarkan siasatan jenayah perang di wilayah Palestin yang diduduki Israel sejak 1967 yang didakwa akan dilakukan secara bebas, tidak berat sebelah atau wujud pilih kasih.

PA yang mentadbir Tebing Barat manakala gerakan Hamas yang menguasai Genting Gaza turut menyambut baik langkah itu yang disifatkan sebagai tonggak perdamaian dan pembelaan sewajarnya untuk penduduk-penduduk Palestin. - Agensi

Artikel Berkaitan: