Tandukan Natanael julang TRW

Pemain Kelantan FC meraikan jaringan Natanael semasa aksi menentang Kuching City pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu. - Foto ihsan TRW Kelantan FC
Pemain Kelantan FC meraikan jaringan Natanael semasa aksi menentang Kuching City pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu. - Foto ihsan TRW Kelantan FC
A
A
A

KELANTAN FC meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Kuching City FC 1-0 dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu.

Kemenangan kedua berturut-turut selepas mengatasi Kelantan United 2-0 pada 6 April lalu membolehkan anak buah Marco Ragini itu mengumpul 13 mata selepas mengharungi tujuh perlawanan liga.

The Red Warriors (TRW) mencipta peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi Mohammad Shafiq Heelmi Zainol Fikri, namun sepakan lencongnya hanya beberapa inci tersasar dari gawang gol pelawat, Wan Muhammad Azraie Wan Teh sudah tertewas.

Dua minit berselang, pemain Kuching City FC, Mohamad Alif Hassan terlepas peluang untuk merobek pintu gol Kelantan apabila rembatan kencang dari luar kotak penalti Kelantan FC jauh tersasar.

Pemain import Kelantan FC, Natanael Siringoringo memecah kebuntuan jaringan apabila menanduk masuk gol pertama untuk pasukannya pada minit ke-45 selepas tenang menyempurnakan lambungan Dzulfahmi Abdul Hadi.

Gol tersebut memberikan kelegaan kepada tuan rumah sebelum babak kedua kembali bersambung.

Sejurus wisel babak kedua ditiup oleh pengadil perlawanan Abdul Faizi Yasin, pelawat hadir dengan aksi lebih bertenaga untuk mendapatkan jaringan penyamaan.

Peluang terbaik pelawat mendapatkan jaringan hadir pada minit ke-53, namun penjaga gawang TRW, Nik Mohd Amin Ahmad berjaya menangkap kemas bola sepakan pemain lawan dari sebelah kiri gol Kelantan FC.

Artikel Berkaitan:

Kuching City FC yang menguasai seluruh perlawanan pada babak kedua terus kempunan untuk mendapatkan jaringan apabila dihampakan oleh ketumpulan penyudah.

Pelawat mempersiakan dua peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-84 dan 89 apabila rembatan kencang pemain pasukan itu ditepis keluar oleh penjaga gawang TRW, Nik Mohd Amin.