Warisan tidak terburu-buru buat perjanjian dengan parti lain

Dari kiri: Terrence, Ma'mun, Ahmad
Dari kiri: Terrence, Ma'mun, Ahmad
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan Sabah (Warisan) mengulangi pendirian tidak mahu terburu-buru membuat perjanjian pilihan raya dengan parti politik atau gabungan lain semata-mata untuk mendapat jawatan.

Warisan juga menegaskan bahawa mana-mana pakatan yang bakal dimeterai harus mencerminkan aspirasi sebenar rakyat Malaysia serta pengiktirafan terhadap kemampuan rakyat Sabah dan Sarawak untuk membina semula negara ini.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, selama 58 tahun ini rakyat Sabah dan Sarawak telah dinafikan peluang untuk memimpin negara walaupun ramai di antara mereka yang layak.

"Saya bukan bercakap mengenai jawatan menteri yang diberikan kepada orang politik dari Sabah dan Sarawak tetapi mengenai keperluan satu formula berkekalan untuk membolehkan lebih ramai penjawat awam yang layak dari kedua-dua negeri itu dilantik memimpin kerajaan Persekutuan utama serta pemerkasaan mereka.

"Perkara ini perlu, kerana jika bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum sendiri pun telah dinafikan jawatan itu dua kali (akhirnya beliau dilantik ketika era Pakatan Harapan/Warisan), apatah lagi penjawat awam dari Sabah dan Sarawak yang bekerja di badan-badan kerajaan Persekutuan.

"Sekiranya syarikat-syarikat tersenarai dan Multi National Corporations (MNC) tidak mempunyai masalah untuk melantik ratusan ribu rakyat Sabah dan Sarawak yang berkebolehan untuk memegang jawatan penting yang menentukan nasib syarikat mereka, maka mengapa perkara yang sama tidak dapat dipraktikkan ketika dalam soal penggubalan akta, dasar dan polisi untuk Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ahmad berkata, jangan hanya bercakap untuk menghormati hak Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia (MA63) seolah-olah kedua-dua negeri ini beroperasi secara silo di Malaysia.

"Apa yang kita perlukan hanya beberapa hak autonomi dan kewangan sebagai balasan kepada minyak dan gas kita.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 25 kerusi Parlimen milik Sabah menggambarkan hak kita untuk menentukan arah negara dan untuk perkara ini, semuanya bermula dari draf dasar atau polisi yang disediakan oleh agensi milik kementerian yang berkaitan, tidak kira berapa banyak autonomi atau hak kewangan yang kita terima, perlaksanaan akta, dasar atau polisi kerajaan Persekutuan yang diluluskan masih akan mempengaruhi rakyat Sabah," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kalabakan, Ma'mun Sulaiman berkata, pakatan pilihan raya yang mahu dimeterai oleh Warisan bakal mencerminkan keseimbangan antara hak yang dimiliki Sabah dan Sarawak di bawah MA63 dan aspirasi parti itu untuk membina semula Malaysia.

"Warisan tidak boleh memeterai perjanjian semata-mata kerana mahu berkuasa, kita kena pastikan bahawa kita juga memiliki kelebihan dalam perkara berkaitan dengan MA63 serta pembangunan negeri-negeri yang kurang maju dan kelebihan ini mesti dinyatakan dengan jelas.

"Sabah berkongsi banyak masalah berkaitan kemiskinan, taraf pendidikan dan kesihatan di kawasan luar bandar, peluang pekerjaan dan perniagaan untuk belia, infrastruktur, keselamatan serta kekangan teknologi maklumat (IT) dengan negeri lain yang kurang maju di Malaysia contohnya Sarawak, Kelantan, Perak dan Terengganu, " katanya.

Tambah Ma'mun lagi, sekiranya pakatan itu hanya untuk memastikan ahli politik dari Sabah menjadi menteri, maka perjanjian itu tidak berguna.

"Warisan percaya bahawa pendekatan yang sepatutnya digunakan ialah kesemua negeri duduk bersama dan mencari jalan penyelesaian secara berkumpulan dan kerajaan Persekutuan pula akan menjadikannya keutamaan Nasional.

"Warisan mempunyai presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang memahami keperluan rakyat Malaysia yang miskin kerana beliau juga berasal dari keluarga biasa dan faham mengenai pelbagai masalah yang dihadapi oleh negara ini sepanjang 30 tahun berkhidmat dalam kerajaan Persekutuan di pelbagai kementerian.

"Maka kita dapat sediakan satu rancangan pembangunan ekonomi yang betul khusus untuk negeri-negeri yang kurang maju ini dan menjadikannya agenda utama negara," katanya.

Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun pula berkata, sebab praktikal memungkinkan parti itu mengadakan pakatan sekiranya Warisan berhasrat untuk memainkan peranan yang penting membangunkan semula negara adalah berdasarkan agenda perpaduannya.

"Tetapi itu tidak bermakna kita akan membuat perjanjian dengan mereka yang telah berkomplot untuk menjatuhkan Kerajaan PH melalui Langkah Sheraton dan kita juga tidak berminat untuk bergabung dengan mereka yang beria-ia untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

"Warisan tidak akan dapat mempromosikan agendanya yang tersendiri melalui perikatan yang pada masa sama, mempromosikan agenda yang kita tentang lebih-lebih lagi jika perikatan, pakatan atau gabungan itu dikuasai oleh Ahli Majlis Tertinggi yang 'kelaparan' dan mementingkan diri sendiri.

"Warisan mungkin tidak mempunyai wang untuk membeli ahli politik ataupun pengundi tetapi sekurang-kurangnya kita masih boleh berbangga kerana parti ini mempunyai martabat, kredibiliti dan semangat untuk melakukan apa yang betul," katanya.