Covid-19: Rutin 'mengeteh' punca Besut jadi Zon Merah

Dr Nor Azimi
Dr Nor Azimi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Daerah Besut bertukar menjadi zon merah pada Sabtu apabila merekodkan pertambahan 24 kes positif Covid-19 bagi Kluster Belaoh menjadikan jumlah keseluruhan 49 kes direkodkan daripada kluster itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kluster yang bermula di Kampung Bela Oh di Besut itu berpunca daripada rutin penduduk yang suka 'mengeteh' di kedai-kedai kopi selepas selesai menunaikan solat di masjid dan surau tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sekelip mata daerah Besut bertukar (status) merah. Bayangkan jika kita tidak laksanakan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) di kawasan tersebut. Kemungkinan akan berlaku kluster yang besar di daerah Besut akibat pergerakan bebas kes positif yang ramai tambahan Ramadan bakal menjelma tak lama lagi.

“Rakyat gembira nak sambut Ramadan nak berbuka bersama keluarga, sedangkan petugas kesihatan akan berbuka di lapangan bersama-sama kawan...Justeru tolong raikan pengorbanan mereka dengan cara patuhi SOP," katanya dalam hantaran yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Sabtu.

Ketika ini terdapat 126 kes aktif Covid-19 di Terengganu dengan kes tertinggi di Besut (61) diikuti Kuala Nerus (27), Kuala Terengganu (17), Dungun (13), Marang (empat), Setiu (dua) dan Hulu Terengganu (dua).

Kluster Belaoh yang didaftarkan pada 6 April lalu adalah kluster komuniti yang melibatkan daerah Besut dan Marang di Terengganu serta daerah Bachok di Kelantan.

Kes indeks bagi kluster itu ialah seorang lelaki berusia 62 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 4 April lalu hasil saringan individu bergejala. Sehingga kini seramai 945 individu sudah disaring termasuk penduduk di dua kampung bersebelahan iaitu Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak. - Bernama

Artikel Berkaitan: