ATM rampas syabu, kereta mewah lebih RM2.3 juta

Abu Hasan Assha’ari (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis syabu seberat 61kg bernilai lebih RM2.3 juta yang berjaya dirampas ATM di sebuah pangkalan haram berhampiran Pos Sega, Rantau Panjang.
Abu Hasan Assha’ari (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis syabu seberat 61kg bernilai lebih RM2.3 juta yang berjaya dirampas ATM di sebuah pangkalan haram berhampiran Pos Sega, Rantau Panjang.
A
A
A

PASIR MAS - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged) merampas dadah jenis syabu seberat 61 kilogram (kg) bersama sebuah kereta mewah jenis Toyota Vellfire bernilai lebih RM2.3 juta di sebuah pangkalan haram berhampiran Pos Sega, Rantau Panjang di sini pada Jumaat.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha’ari Kamis berkata, rampasan pada jam 8.45 malam itu dilakukan hasil rondaan menerusi Ops Benteng di kawasan berkenaan.

"Semasa rondaan dilakukan, sepasukan anggota dari Kumpulan Serang dan Tangkap (Serkap) ATM telah melihat tiga lelaki bersama sebuah kenderaan berdekatan pangkalan haram itu yang terletak berhampiran Sungai Golok.

"Ketika cuba menghampiri lokasi untuk melakukan serbuan, anggota Serkap ATM telah melihat satu guni dari sebuah bot yang diletakkan dalam kenderaan mewah itu," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada Sabtu.

Beliau berkata, sejurus menyedari kehadiran anggota ATM tiga lelaki berkenaan terus bertindak melarikan diri ke arah negara jiran.

Abu Hasan Assha’ari berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan mewah itu membawa kepada penemuan puluhan bungkusan teh yang dimuatkan dalam guni di atas kenderaan itu.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan teh bertulisan Guangyinwan itu membawa kepada penemuan dadah jenis syabu seberat 1kg bagi setiap pek.

"Kesemua dadah terbabit dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semua barang rampasan itu diserahkan kepada IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kejayaan itu menjadi pemangkin buat ATM untuk terus agresif dalam melaksanakan tanggungjawab menerusi Ops Benteng.

Katanya, ATM memohon kerjasama penduduk setempat agar dapat menyalurkan maklumat serta berganding bahu mencegah sebarang bentuk jenayah rentas sempadan bagi menjamin kedaulatan negara kekal terpelihara.