Ismail Sabri mahu Johor bangkit jadi kubu kuat UMNO

Ismail Sabri (duduk kanan) memberikan sumbangan kepada adik Jizalle Ally, 10 tahun (dua dari kanan) dan adiknya Osscar Ally, 5 tahun (dua dari kiri) yang menghadapi masalah 'Cerebral Palsy' pada lawatan kerja di PULADA Ulu Tiram, hari ini. Foto Bernama
Ismail Sabri (duduk kanan) memberikan sumbangan kepada adik Jizalle Ally, 10 tahun (dua dari kanan) dan adiknya Osscar Ally, 5 tahun (dua dari kiri) yang menghadapi masalah 'Cerebral Palsy' pada lawatan kerja di PULADA Ulu Tiram, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu UMNO Johor kembali bangkit dan memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau berkata, Johor sebagai negeri tempat ‘kelahiran’ parti keramat itu, maka UMNO Johor perlu bangkit kembali bagi menguasai kerajaan.

“Johor memang daripada dahulu menjadi benteng kekuatan UMNO. Seperti yang kita tahu, UMNO ditubuhkan di Johor, jadi UMNO Johor perlu bangkit kembali menguasai kerajaan.

“Walaupun sekarang memang UMNO menjadi kerajaan di Johor tetapi kali ini kita percaya UMNO akan menang lebih besar di Johor,” katanya kepada pemberita selepas program Bangkit 15 peringkat negeri Johor di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Johor kini di bawah pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad daripada UMNO mengetuai kerajaan negeri.

PN mempunyai 29 kerusi dengan Barisan Nasional sebanyak 16 kerusi, Bersatu 12 kerusi dan Pas satu kerusi manakala Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi dengan DAP 14, Amanah enam serta PKR tujuh.

Sementara itu, mengenai Bangkit 15, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) berkata, beberapa negeri telah selesai mengadakan program berkenaan yang merupakan persediaan jentera UMNO bagi menghadapi PRU15.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Johor merupakan negeri terakhir sebelum menjelang Ramadan dan program sama akan diteruskan di Sabah, Kelantan, Pulau Pinang serta Terengganu selepas sambutan Aidilfitri nanti. - Bernama