SIC nafi terlibat kegagalan pematuhan SOP

Tular video memaparkan polis hadir ke litar berkenaan bagi menyuraikan peserta yang hadir ke acara itu.
Tular video memaparkan polis hadir ke litar berkenaan bagi menyuraikan peserta yang hadir ke acara itu.
A
A
A

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) menafikan pihaknya terlibat dalam kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di satu program yang dianjurkan di litar itu, semalam.

Dalam kenyataan, SIC menjelaskan garis panduan SOP penganjuran acara sukan permotoran serta aktiviti track day dengan kehadiran penonton dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah diberikan lebih awal kepada penganjur program berkenaan.

Menurutnya, SIC merupakan penyedia tempat untuk sesi latihan MUSC SIC Sepang Drag Cars Test & Tune 2021 sementara MUSC Motorsports selaku penganjur program itu adalah pihak yang bertanggungjawab memastikan tahap pematuhan SOP sentiasa di tahap tertinggi.

"Ini juga pertama kalinya pihak SIC membenarkan kemasukan 2,000 penonton di Main-Granstand berdasarkan had yang dibenarkan oleh SOP.

"SIC telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di SIC untuk menyuraikan orang awam yang berkumpul. Kompaun telah dikeluarkan kepada mereka yang ingkar terhadap SOP ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka dan kegagalan mengamalkan penjarakan sosial," kata kenyataan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, MUSC Motorsports mengesahkan pihaknya gagal melaksanakan acara itu dalam ketetapan norma baharu.

"Kami memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat dan tanpa menyalahkan mana-mana pihak sama ada agensi penguatkuasa, penyedia litar, rakan-rakan program, pasukan drag, pengunjung dan semua pengikut MUSC Drag Racing," menurut kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur sukan permotoran dikompaun RM20,000 gagal patuhi SOP

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman sebelum intu mengesahkan penganjur sukan permotoran dikompaun RM20,000 kerana didapati gagal memastikan penjarakan fizikal ketika menganjurkan perlumbaan drag di SIC.