Ibu arwah Siti Nur Surya meninggal dunia

Ahli keluarga ibu arwah Surya menyiram air mawar di atas kubur sejurus selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat, Kuala Terengganu - Foto: ihsan Keluarga
Ahli keluarga ibu arwah Surya menyiram air mawar di atas kubur sejurus selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat, Kuala Terengganu - Foto: ihsan Keluarga
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ibu kepada mangsa bunuh dalam kejadian di Kampung Lubok Batu, Telemong, Kuala Berang, Hulu Terengganu, Siti Nur Surya Ismail meninggal dunia akibat kanser otak tahap tiga.

Zaini Musa, 55, yang menghidap kanser dua tahun lalu meninggal dunia di rumah lama mereka di Kampung Beladau Kepong di sini petang Jumaat.

Abang sulung Siti Nur Surya, Mohd Zarif Amer, 30, berkata, ibunya menghembuskan nafas terakhir ketika sedang dimandikan oleh dua adiknya, Muhammad Alif Hamdan, 19, dan Nur Liyana Syuhada, 16, kira-kira jam 2.40 petang.

Menurutnya, selepas kejadian menyayat hati melibatkan arwah Siti Nur Surya, kesihatan arwah ibu mereka lebih baik tetapi hanya bertahan dalam tempoh sebulan.

"Kami ada memberitahu kejadian sebenar menimpa arwah Surya kepada ibu tetapi dengan keadaan kesihatannya, dia selalu lupa.

"Ibu ingat-ingat lupa apa yang menimpa arwah kerana dia sering menyuruh kami adik-beradik mencari arwah yang disangka arwah lari dari rumah tetapi setelah ditenangkan dan diceritakan semula kejadian sebenar yang arwah sudah tiada, dia terus diam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja jaga ibu sakit maut dipercayai dibunuh

Mohd Zarif berkata, jenazah Allahyarham ibunya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat di sini jam 10 malam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi pada 1 November tahun lalu, Siti Nur Surya ditemui mati tertiarap dengan pergelangan tangan kirinya terputus di samping kesan kecederaan lain pada bahagian muka dan badan di rumahnya di Kampung Lubok Batu, Telemong, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Sehari selepas kejadian, seorang remaja perempuan yang juga rakan baik arwah ditahan ketika tampil di Balai Polis Telemong, Hulu Terengganu, pada jam 7.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

Remaja berusia 19 tahun itu hadir ke balai polis ditemani ibunya untuk membantu siasatan, namun hasil keterangan diberi remaja yang bersekolah bersama arwah dari Tingkatan Satu hingga Lima itu mencurigakan lalu tangkapan ke atasnya dilakukan untuk siasatan lanjut.

Remaja berkenaan sudah didakwa di mahkamah di bawah kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.