Dua projek 'sakit' babit sekolah dalam perhatian kementerian

Ahmad Saidi (dua, kiri) bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Norazman Othman (tengah) menunjukkan poster 1 Love Muzium selepas Program Jerayawara Pelancaran Kempen Kembali Ke Muzium Siri 1 di pekarangan Muzium Taiping hari ini.
Ahmad Saidi (dua, kiri) bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Norazman Othman (tengah) menunjukkan poster 1 Love Muzium selepas Program Jerayawara Pelancaran Kempen Kembali Ke Muzium Siri 1 di pekarangan Muzium Taiping hari ini.
A
A
A

TAIPING - Kerajaan negeri Perak telah mengenal pasti dua projek membabitkan sekolah yang dalam pembinaan dan masih terbengkalai, yang dalam perhatian Kementerian Pendidikan untuk ditangani.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, projek itu membabitkan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (SMKPTLDM) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelangi Perdana di Kerian.

Beliau berkata, kedua-dua projek itu di bawah kendalian Kementerian Pendidikan dari segi tender serta pelantikan kontraktor dan beliau percaya, ia mungkin disebabkan kegagalan kontraktor dalam menyiapkan kerja yang dirancang.

"Dewan SMKPTLDM mula dibina pada 2015 dan pada mulanya dijangka siap pada 2017. Ia telah 80 peratus siap, tinggal kerja pendawaian dan pemasangan alat penghawa dingin dengan kos RM1 juta, manakala pembinaan SMK Pelangi Perdana telah diambil tindakan oleh Kementerian Pendidikan untuk perhatian lanjut," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Kembali ke Muzium Siri 1 di Muzium Perak di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Khas Projek Sakit SMKPTLDM Sharifah Hazlina Syed Musa Jamalullail berkata, projek dewan sekolah itu terbengkalai sejak empat tahun lalu didakwa disebabkan sikap kontraktor yang tidak bertanggungjawab.

Ahmad Saidi berkata, kerajaan negeri tidak pernah lepas tangan dan mengambil maklum mengenai mana-mana projek sakit untuk dipulihkan pihak terbabit.

"Projek ‘sakit’ dewan sekolah itu kita sudah maklumkan kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan segera bagi membolehkan pelajar dapat menggunakan dewan sekolah dan projek berkenaan akan diteruskan pada tahun depan," tambahnya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Empat tahun dewan sekolah tak siap-siap

Artikel Berkaitan: