PKP di daerah Lahad Datu, Sabah mulai esok

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di daerah Lahad Datu, Sabah manakala PKP Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak mulai Ahad hingga 24 April ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, PKP di Lahad Datu dikuat kuasa berikutan peningkatan mendadak kes positif harian dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di daerah itu dan sehingga kini, terdapat 103 kes positif direkodkan bagi tempoh 14 hari di kawasan tersebut.

Bagi PKPD di Sabah, Ismail Sabri berkata, ia melibatkan Kampung Bukit Belacon di Mukim Segama, Lahad Datu dan Kampung Muhibbah Raya di Tawau.

“Pelaksanaan PKP dan PKPD adalah untuk memastikan kadar infeksi terkawal dan tidak menular ke kawasan lain,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) pada Sabtu.

PKPD di Sarawak pula melibatkan Kampung Menuang Baru di Limbang serta Politeknik Mukah dan sembilan Rumah Panjang Sungai Duan juga di Mukah yang akan berkuat kuasa dalam tempoh sama.

Lokasi yang terlibat ialah Rumah Panjang Subing anak Jabo/Stevenson anak Ebek, Rumah Panjang Dingun anak Tidih, Rumah Panjang Nyaun anak Ganai, Rumah Panjang anak Tangkun, Rumah Panjang Budin anak Majang/Migi anak Kadong, Rumah Panjang Kinseng anak Jelian, Rumah Panjang Muda anak Lunjang, Rumah Panjang Ambo anak Ayom dan Rumah Jiram anak Tang.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Pusat Jagaan Rohaniah berhampiran Sekolah Integrasi Ikhwan di Pasir Puteh, Kelantan ditamatkan pada Ahad seperti yang dijadualkan selepas terdapat penurunan jangkitan dengan kes terakhir direkodkan pada 6 April lalu.

Mengulas mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP, Ismail Sabri berkata, seramai 78 individu ditahan kerana ingkar SOP pada Jumaat dengan 74 dikompaun manakala empat lagi direman.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi kawalan sempadan negara pula, sebanyak 49 pendatang tanpa izin ditangkap menerusi Ops Benteng dan 13 kenderaan darat dirampas. - Bernama