Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah bakal lahir huffaz profesional

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz menandatangani plak pada Perasmian Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Kampung Simpangan, Tumpat pada Sabtu.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz menandatangani plak pada Perasmian Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Kampung Simpangan, Tumpat pada Sabtu.
A
A
A

TUMPAT - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalurkan peruntukan RM306,646 kepada Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Kampung Simpangan di sini dalam usaha melahirkan para huffaz profesional yang mampu memimpin masyarakat.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM126,000 akan digunakan untuk menaja 10 pelajar pertama di maahad tahfiz berkenaan selama tempoh tiga tahun.

Menurutnya, idea projek dan penubuhan maahad tahfiz berkenaan hasil daripada lawatan kerja ke Turki bersama kerajaan negeri pada pertengahan tahun 2019.

“Sebagai permulaan, MAIK akan menaja 10 pelajar. Selepas tamat pengajian di sini, mereka akan menyambung pelajaran mereka di Turki yang akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Turki,” katanya sempena Majlis Perasmian Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Kampung Simpangan, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman, Setiausaha MAIK, Muhamad Rasani Ramli dan Pengerusi Lembaga Maahad Tahfiz Al-Quran Sulaimaniyyah Malaysia, Datuk Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Dalam pada itu, Mohamad Rizam berkata, MAIK melalui Wakaf Tunai Am iaitu sebahagian produk wakaf MAIK menyalurkan sebanyak RM49,000 bagi menyiapkan pembinaan bangunan maahad tahfiz berkenaan.

“Selain itu, MAIK turut memperuntukkan wang zakat berjumlah RM56,646 dan baitulmal bernilai RM75,000 kepada maahad itu untuk pembelian perabot, pendingin hawa serta penyelenggaraan lain.

“MAIK berharap usaha jitu daripada pelbagai pihak dalam membangunkan maahad tahfiz berkenaan dapat menjadi sebahagian produk wakaf di negeri Kelantan sekali gus sebagai ‘pioneer project’ kepada pembangunan sekolah wakaf di Kelantan mahupun Malaysia amnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut merakamkan penghargaan khusus kepada Mat Razi Mat Ali yang mewakafkan tanah untuk dijadikan tapak maahad tahfiz tersebut selain usaha ramai pihak untuk mendapatkan dana menyempurnakan pembinaan maahad tahfiz berkenaan.