Dua beradik penagih tegar ditahan

Sebahagian mereka yang ditahan di bawa ke pejabat AADK Terengganu untuk tindakan selanjutnya.- Foto Ihsan AADK Kuala Terengganu
Sebahagian mereka yang ditahan di bawa ke pejabat AADK Terengganu untuk tindakan selanjutnya.- Foto Ihsan AADK Kuala Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua beradik antara 33 individu yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Terengganu dalam serbuan di beberapa lokasi membabitkan dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, awal pagi Khamis.

Lelaki berusia 52 tahun ditahan bersama adik perempuannya, 42, selepas kediaman keluarga mereka di sekitar kawasan Seberang Takir, Kuala Nerus diserbu kira- kira jam 2 pagi.

Ketua Pegawai AADK Kuala Terengganu, Saufi Yusoff berkata, dua beradik berkenaan mengaku sudah hampir 12 tahun ketagih dadah jenis methamphetamine.

"Lelaki tersebut mengaku mengenali barang terlarang itu daripada adik perempuannya yang memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Mereka juga mengaku ibu bapa dan ahli keluarga lain mengetahui kegiatan itu tetapi tidak mampu berbuat apa-apa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Saufi berkata, melalui operasi tiga hari itu AADK turut menahan sepasang kekasih selepas kediaman keluarga lelaki di sekitar Seberang Takir, Kuala Nerus diserbu.

Antara penagih dadah yang ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi membabitkan dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, awal pagi Khamis. - Foto Ihsan AADK Kuala Terengganu
Antara penagih dadah yang ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi membabitkan dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, awal pagi Khamis. - Foto Ihsan AADK Kuala Terengganu

"Semasa serbuan dilakukan, pasangan berusia 33 dan 35 tahun berada di dalam salah sebuah bilik manakala abang kandung dan kakak ipar lelaki tersebut berada dalam rumah itu.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan mendapati ahli keluarga kepada lelaki tersebut mengaku tidak berani menegur tindakannya yang sering membawa balik teman wanitanya ke rumah kerana setiap kali ditegur, dia akan bertindak agresif dengan mengamuk.

"Jadi bimbang akan keselamatan diri yang ada di dalam rumah terbabit, mereka terpaksa mengambil keputusan berdiam diri dan memerhati sahaja walaupun tidak suka dengan tindakan tersebut," katanya.

Saufi berkata, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Selain itu, Saufi berkata, operasi yang bermula antara jam 2 hingga 4 pagi itu berjaya menahan 33 individu yang berusia antara 22 hingga 52 tahun.

"Daripada jumlah itu, 19 individu dihantar untuk menjalani rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), sembilan direman untuk disiasat di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998 dan selebihnya diberi jamin," katanya.

Serbuan disertai 24 anggota dan pegawai iaitu 18 daripada AADK Kuala Terengganu serta enam AADK Terengganu.