X

Kindly register in order to view this article
!

Selangor rancang bangunkan Bukit Beruntung

Amirudin (dua dari kiri) bersama pihak pemaju, MK Land Holding Berhad, dan pemilik Rumah Selangorku bergambar di hadapan rumah contoh di Iris Fasa 1A di Taman Bunga Raya, di sini.
A
A

BUKIT BERUNTUNG - Kerajaan Selangor sedang mengkaji cara terbaik bagi membangunkan 404.69 hektar tanah di sini untuk tujuan pembangunan industri, perumahan dan komersial sebagai nilai tambah kepada kawasan di sini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kawasan tersebut dilihat cukup strategik kerana dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti sekolah, klinik kesihatan, pejabat pos, pasaraya, surau dan dekat dengan persimpangan lebuhraya Bukit Beruntung (PLUS) yang memudahkan akses ke Kuala Lumpur.

“Selain itu, kawasan ini juga berdekatan dengan hub industri automotif yang mana secara tidak langsung akan mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk daerah Hulu Selangor.

“Bagaimanapun, fasa pembinaan unit Rumah Selangorku di sini akan diteruskan sehingga Fasa 6 yang dijangka siap sepenuhnya dalam masa tujuh tahun dan diharapkan ia mampu memberi peluang pekerjaan dan perniagaan baharu untuk penduduk di sekitar kawasan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Secara Simbolik Rumah Teres Dua Tingkat, Iris Fasa 1A Rumah Selangorku di Taman Bunga Raya, di sini, pada Sabtu.

Sebanyak 109 unit Rumah Selangorku jenis D, iaitu rumah teres dua tingkat siap dibina di atas tanah seluas 10.85 hektar di Iris Fasa 1A, Taman Bunga Raya di sini.

Amirudin berkata, rumah yang dijual pada harga RM250,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi itu dibina sejak tahun 2018 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos tahun ini.

Sementara itu, salah seorang pembeli unit Rumah Selangorku, Muhammad Zahiruddin Mohammed, 33 bersyukur kerana kerajaan Selangor sudi menawarkan rumah pada harga yang berpatutan kepadanya.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu sentiasa meneruskan pembinaan rumah sebegini untuk membantu ramai orang yang ingin memiliki rumah sendiri, khususnya golongan B40 dan M40.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan keadaan rumah saya.

“Saya harap pembinaan rumah sebegini dapat diteruskan kerana ia dapat membantu banyak golongan khususnya kepada kumpulan B40 dan M40,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Bagi Hisamudin Hashim, 38 pula, dia bersyukur kerana dapat memiliki rumah pertamanya setelah beberapa tahun menyewa di Kota Damansara.

Dia mengakui gembira kerana dapat memiliki kediaman sendiri pada harga yang berbaloi walaupun pendapatannya tidak begitu tinggi.

“Dengan gaji saya yang agak rendah, saya cuba mohon untuk membeli rumah ini dan Alhamdulillah permohonan saya diluluskan.

“Kalau tiada masalah, saya dan keluarga akan berpindah ke sini dalam masa dua bulan lagi,” katanya yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Kota Damansara.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!