Waspada kes ‘scammer’ melalui rampasan akaun WhatsApp

Celcom
Celcom
A
A
A

SHAH ALAM - Celcom memberi peringatan terhadap kes yang melibatkan kegiatan ‘scammer’ melalui rampasan akaun WhatsApp pengguna.

Menerusi kenyataan di laman web rasmi Celcom pada Selasa, modus operandi tersebut bermula dengan ‘scammer’ menyamar sebagai rakan, ahli keluarga atau pasukan sokongan WhatsApp untuk meminta enam digit kod pengesahan yang dihantar ke nombor telefon mangsa bagi tujuan mengenakan caj pembelian ke akaun atau kad kredit.

“Mereka cuba untuk mengakses peti simpanan suara anda bagi mendapatkan kod tersebut,” kata Celcom.

Dalam kenyataan sama, Celcom menjelaskan bahawa mesej berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha syarikat telco terbabit memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai ancaman ‘scammer’.

“Ini merupakan peringatan amaran ‘scammer’ berterusan (mengenai apa sahaja penipuan semasa) yang dijalankan dengan Ciso,” ujarnya.

Dalam pada itu, Celcom turut mencadangkan beberapa langkah bagi melindungi diri daripada kegiatan ‘scammer’ tersebut.

“Tetapkan pengesahan dua langkah di WhatsApp anda (Tetapan>Akaun>Pengesahan dua langkah>Dayakan) dan tidak berkongsi kod pengesahan WhatsApp dengan orang lain.

“Tetapkan nombor pin yang unik untuk peti simpanan suara anda. (Dail 1313>pilih "2"> Pilih "2">Pilih "1">Masukkan PIN anda dan tekan #)” katanya.

Artikel Berkaitan:

Info lanjut mengenai penipuan ini, lawati http://bit.ly/WhatsAppScam_Info