Program Kerjaya UP kurangkan kadar pengangguran B40

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengambil inisiatif mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan golongan B40 melalui Program Kerjaya UP (Urban Poor).

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, program berkenaan menyediakan 10,305 kekosongan jawatan daripada pelbagai industri.

Menurutnya, ia merangkumi temuduga untuk individu mudah terjejas di kawasan bandar bagi memudahkan golongan sasar itu mempunyai mata pencarian.

“Program Kerjaya UP antara lain akan menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya, klinik penghasilan resume dan temuduga, kaunter sesi pendaftaran perniagaan (SSM), khidmat nasihat keusahawanan dan kewangan, latihan kerjaya serta pendaftaran e-Kasih.

“Pengangkutan percuma turut disediakan di lokasi terpilih untuk pencari kerja yang memerlukan bantuan pengangkutan.

“Program Kerjaya UP ini adalah tindakan susulan daripada sesi profiling program 'Jom Kerja' Perkeso yang telah dijalankan di beberapa lokasi Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) pada Mac 2021,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, susulan daripada sesi profiling tersebut, Perkeso telah mendapatkan kerjasama daripada kementerian dan agensi berkaitan untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan khususnya bagi memenuhi keperluan golongan itu.

Acara kemuncak Program Kerjaya UP akan diadakan di Pusat Komuniti Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 12 April tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, Perkeso turut menyediakan insentif bagi menggalakkan majikan mengambil pekerja daripada golongan rentan bandar menerusi Program PenjanaKerjaya.

“Insentif khas PenjanaKerjaya sehingga RM6,000 sebulan disediakan bagi majikan yang mengambil pekerja dari kategori mudah terjejas dan hingga RM4,000 sebulan untuk majikan yang mengambil pekerja tempatan bagi menggantikan pekerja asing di bawah kategori ‘Malaysianisation’.

“Di bawah kategori Malaysianisation, pekerja tempatan bekerja dalam sektor yang mempunyai kebergantungan tinggi kepada pekerja asing adalah layak untuk menerima bayaran secara langsung dari RM500 hingga RM2,000 sebulan untuk tempoh enam bulan maksimum bagi setiap pekerja,” katanya.

Katanya, Perkeso juga sedang mengadakan program Penjana Kerjaya UP di negeri-negeri terpilih di luar Lembah Klang.

“Perkeso berharap pencari kerja dari golongan B40 bandar akan menggunakan peluang ini untuk mendapatkan pekerjaan demi kelestarian hidup masing-masing.

"Pencari kerja yang berminat boleh mendaftar di https://careerfair.perkeso.gov.my/. Maklumat lanjut berkenaan program ini boleh diperoleh menerusi laman sosial rasmi @EISPERKESO di Instagram, Facebook dan Twitter atau layari www.perkeso.gov.my," katanya.