Hanya 10 peratus francaisor tawar pakej francais mikro, mampu milik

Rosol (kanan) melihat produk usahawan yang dipamerkan dalam Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Terengganu di KTCC Mall pada Sabtu.
Rosol (kanan) melihat produk usahawan yang dipamerkan dalam Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Terengganu di KTCC Mall pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan menyeru lebih banyak francaisor menawarkan pakej francais mikro dan mampu milik dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan francais di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, sehingga kini hanya 12 francais dengan sebahagian besar daripada sektor makanan dan minuman yang menawarkan pakej francais tersebut.

Menurutnya, jumlah itu begitu kecil berbanding 1,091 francais yang berdaftar di Malaysia dengan 694 daripadanya adalah jenama tempatan.

"Tidak sampai 10 peratus francaisor yang tawarkan pakej francais ini, jadi kita harap lebih ramai berbuat demikian bagi melahirkan lebih ramai usahawan francais lebih-lebih lagi ketika peluang pekerjaan sukar diperolehi berikutan cabaran ekonomi kesan pandemik Covid-19.

"Ia juga akan beri pulangan keuntungan yang lebih besar kepada francaisor apabila perniagaan mereka semakin berkembang," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Terengganu di KTCC Mall di sini pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Program Jelajah Franchise Bay dilancarkan di Melaka pada 2 hingga 4 April lalu dengan Terengganu menjadi lokasi kedua siri jelajah berkenaan sebelum diteruskan di Johor, Pahang, Selangor, Kedah dan Sarawak.

Ia sebagai salah satu inisiatif membantu negara memulihkan ekonomi selain menggalakkan lebih ramai usahawan menyertai industri berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Rosol berkata, pakej francais mampu milik adalah pakej perniagaan bernilai RM100,000 dan ke bawah manakala francais mikro pula bernilai RM50,000 dan ke bawah.

Katanya, kerajaan melalui KPDNHEP memperuntukkan sejumlah RM5 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Francais Mikro dan Mampu Milik khusus untuk golongan B40 dan M40 menceburi bidang francais.

"KPDNHEP akan menyediakan dua bentuk geran iaitu Geran Pembangunan Pakej Francais Mikro/Mampu Milik iaitu geran penularan berjumlah RM2 juta yang ditawarkan kepada pihak francaisor bagi tujuan membangunkan prototaip francais mikro dan mampu milik.

"Selain itu, Geran Pemudahcara Francais Mikro dan Francais Mampu Milik iaitu geran padanan berjumlah RM2.5 juta untuk golongan B40 dan M40.

"Jadi kita harap kerajaan negeri juga dapat membantu usahawan francais ini dengan menyediakan lokasi sesuai kepada mereka untuk memulakan perniagaan," katanya.