Pas tak kisah Bersatu pertahan kerusi Parlimen Kuala Pilah

Rafiei Mustapha
Rafiei Mustapha
A
A
A

SEREMBAN - Pas Negeri Sembilan tiada masalah sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ingin mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Pilah biarpun soal pembahagian kerusi masih belum diputuskan di peringkat jawatankuasa Perikatan Nasional (PN) Pusat.

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata, Bersatu sememangnya layak untuk terus bertanding di kerusi itu kerana telah memenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Jika ikut formula yang dipersetujui ikut status quo, Bersatu memang layak untuk mempertahankan kerusi tersebut.

"Pas di peringkat Pas Negeri Sembilan tiada masalah pun jika itu formulanya dan kita akan akur," katanya kepada Sinar Harian.

Pada Jumaat, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith menyuarakan hasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Pilah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau turut bersedia menentang calon daripada parti lain, biarpun akan ada pertembungan tiga penjuru

Menurut Rafiei, pihaknya ada mencadangkan kepada Pas Pusat soal pembahagian kerusi di negeri ini, namun tetap mengambil pendirian berpegang kepada apa yang telah diputuskan kepimpinan Pusat.

Jelas beliau, di peringkat negeri, Pas dan Bersatu masih belum berbincang berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Tentang mana-mana kerusi yang nak dipertandingkan setakat ini belum ada lagi dan kita pun tidak dimaklumkan apa-apa lagi.

"Maknanya masih belum ada proses perundingan. Tapi apa-apa saja yang diputuskan oleh jawatankuasa PN peringkat pusat kita akan terima," katanya.

Dalam pada itu, Rafiei berkata, soal pembahagian kerusi tidak sepatutnya menjadi masalah yang akhirnya akan menyebabkan perpecahan dan pertembungan tiga penjuru.

Sehubungan itu Pas Negeri Sembilan memilih untuk berlapang dada dan berpegang kepada prinsip mempertahankan PN dan memperteguhkan Muafakat Nasional (MN).

"Kalau kita letak kepentingan diri dan parti kita sahaja ia boleh memberi kesan besar kepada kita bersama.

"Kalau kita mahu ambil alih kerajaan Negeri Sembilan tidak kira di bawah Gabungan PN atau MN, kita perlu bersedia untuk berkorban," katanya.