Shabudin sedia beri penjelasan

Shabudin Yahaya
Shabudin Yahaya
A
A
A

TASEK GELUGOR - Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Shabudin Yahaya bersedia memberi penjelasan di mahkamah berhubungan dakwaan salah guna kuasa membabitkan pembelian dan penjualan tanah di negeri ini.

Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, segala urusan pembelian, penjualan dan usahasama hartanah serta aset Perda yang dilakukan pengurusan terdahulu adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Keputusan yang dibuat itu adalah keputusan secara konsensus oleh ahli lembaga pengarah Perda dalam setiap mesyuarat tersebut dan dipantau beberapa pihak pengurusan tertinggi Perda. Tidak ada sebarang kebocoran dari segi kos dan kami boleh berikan justifikasi mengenai perkara ini.

"Saya bersedia untuk memberikan penjelasan berhubung perkara ini di mahkamah. Saya dan seluruh bekas ALP Perda berharap siasatan yang dilakukan pengurusan sekarang dapat memberikan penjelasan terhadap isu-isu yang timbul," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan tujuh pihak termasuk syarikat, ahli lembaga pengarah dan bekas pengerusi Perda berdepan dengan tindakan undang-undang kerana salah guna kuasa melibatkan pembelian, penjualan dan usahasama hartanah dipercayai sejak 2013.

Pengerusi Perda, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, berdasarkan siasatan sejak Januari lalu, pihaknya mendapati 15 fail meragukan dan perlu siasatan lanjut dijalankan termasuk membabitkan seorang Ahli Parlimen di negeri ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pengerusi PERDA antara tujuh berdepan tindakan undang-undang

Artikel Berkaitan: