Populasi baka KK Elit perlu diberi perhatian: MAFI

Ahmad (tengah) menyaksikan penyerahan tabung mengandungi semen lembu tempatan baka KK Elit daripada Dr Mohamad Roff (kanan) kepada Dr Norlizan Mohd Noor pada Program Pemindahan Teknologi Lembu di Kampung Bukit Tembakau pada Sabtu.
Ahmad (tengah) menyaksikan penyerahan tabung mengandungi semen lembu tempatan baka KK Elit daripada Dr Mohamad Roff (kanan) kepada Dr Norlizan Mohd Noor pada Program Pemindahan Teknologi Lembu di Kampung Bukit Tembakau pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Perancangan meningkatkan populasi lembu tempatan jenis Kedah Kelantan Elit (KK Elit) perlu diberi perhatian serius menerusi kerangka strategi secara holistik dan intensif.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ia penting bagi mengelakkan kepupusan haiwan ternakan itu dan mengembangkan populasi selain menaik taraf prestasi baka melalui pemilihan ternakan yang sesuai.

Menurutnya, kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membuktikan bahawa baka tempatan dapat ditingkatkan berat badan setanding dengan baka luar negara dengan komitmen berterusan kerajaan dalam tempoh yang panjang.

"Setakat ini hampir 3,600 dos (straw) semen KK Elit telah berjaya dikrioawet dan sebahagiannya telah diedarkan kepada penternak.

"Potensi baka KK Elit ini begitu besar, jadi kita turut mencadangkan Program Pemindahan Teknologi Lembu jenis ini untuk dilaksanakan kepada penternak-penternak di Melaka dan seterusnya di negeri-negeri lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program itu di Kampung Bukit Tembakau, Umbai pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Vetrinar (JPV), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, faktor persekitaran juga dilihat dapat membantu usaha ke arah meningkatkan pengeluaran baka itu memandangkan formulasi makanan juga mudah didapati di kawasan sekitar seperti rumput napier dan kekacang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, formulasi makanan itu akan membolehkan lembu-lembu melalui proses penggemukan yang secara tidak langsung dapat tingkatkan pendapatan ekonomi penternak

"Kita juga bercadang untuk mengembangkan ternakan baka KK Elit itu dengan melibatkan penternak-penternak dari golongan belia yang diserap dan dibimbing menerusi program Agropreneur Muda," katanya.