1,510 kes baharu Covid-19 hari ini

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kes positif Covid-19 di Malaysia menurun sedikit dalam tempoh 24 jam lepas dengan 1,510 kes baharu berbanding 1,854 Jumaat dengan lapan kematian dilaporkan pada Sabtu.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di negara ini berjumlah 359,117 dengan kes aktif sebanyak 15,059, sementara jumlah kumulatif kematian mencecah 1,321.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 1,505 melibatkan penularan dalam negara dan lima kes import.

"Kes sembuh harian pula mencatat 1,248 kes, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh setakat hari ini (Sabtu) sebanyak 342,737 kes," katanya menerusi infografik yang dikongsikan di laman Twitter beliau pada Sabtu.

Sebanyak 194 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 81 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam kenyataan perkembangan harian Covid-19 pula, Dr Noor Hisham berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 415 kes, sementara Sarawak (296), Kelantan (171), Sabah (131), Kuala Lumpur (106) dan Pulau Pinang (101) pula merekodkan kes harian melebihi 100 kes.

Berhubung kes kematian, beliau berkata, kesemuanya melibatkan warganegara iaitu enam lelaki dan dua wanita, masing-masing berusia antara 48 hingga 83 tahun serta mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Mengenai kluster baharu, Dr Noor Hisham berkata, sembilan kluster dikesan pada Sabtu dengan enam membabitkan penularan di tempat kerja dan tiga kluster melibatkan komuniti.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kluster baharu tempat kerja yang direkodkan ialah Kluster Industri Jalan Kebun di Selangor; Kluster Pujut Satu (Sarawak); Kluster Bandar Baru Kubang Kerian (Kelantan); Kluster Jalan Tun Ismail (Kuala Lumpur); manakala Kluster Jalan Kempas Satu dan Kluster Jalan Padu Industri dikesan di Johor.

"Bagi kluster melibatkan komuniti yang dilaporkan pula ialah Kluster Kampung Kelanang di Selangor, Kluster Jalan Kapitan (Sarawak) dan Kluster Kampung Tanjung (Terengganu).

"Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster kini sebanyak 1,451 dengan 343 kluster aktif," katanya menambah lapan kluster diisytihar tamat pada Sabtu menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang tamat ialah 1,108. - Bernama