X

Kindly register in order to view this article
!

'Jang' perlu belajar daripada kesilapan

Zaquan Adha dikawal pemain Kelantan United, Juzaerul Jasmi ketika aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat. Foto Bernama
A
A

PENDAHULU Liga Premier, Negeri Sembilan FC (NSFC) perlu belajar daripada kesilapan selepas kekalahan pertama musim ini ketika menentang Kelantan United FC pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat.

Ketua Jurulatih NSFC, K. Devan berkata, walaupun pasukannya bermula dengan baik sehingga berjaya menjaringkan gol pada awal perlawanan, namun pemainnya hilang fokus setelah Kelantan United FC menyamakan kedudukan.

Jelasnya, memasuki separuh masa kedua, prestasi pasukannya terus goyah selepas pemain tengah, Saiful Ridzuwan Selamat dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain lawan pada minit akhir babak pertama.

"Meskipun bermain dengan 10 orang pada separuh masa kedua, NSFC dapat menyamakan kedudukan tetapi gol kemenangan pasukan lawan menerusi tendangan percuma pasukan pelawat sebenarnya dapat dielakkan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, NSFC tewas mengejut 2-3 di tangan Kelantan United FC.

Zaquan Adha Abd Radzak membuka tirai jaringan NSFC seawal minit pertama sebelum pelawat bangkit dengan dua gol hasil jaringan awang import, Alfusainey Gassama pada minit ke-20 dan 52.

Berselang tujuh minit kemudian, NSFC berjaya menyamakan kedudukan menerusi ledakan Alain Akono sebelum Hariz Kamarudin menjaringkan gol kemenangan Kelantan United pada minit ke-65.

NSFC kekal mengungguli persada liga dengan 14 mata, hanya kelebihan satu mata di depan Johor DT II manakala Kelantan United FC menduduki tangga kelima dengan 10 mata selepas tujuh perlawanan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!