X

Kindly register in order to view this article
!

Lepas tali dalam laut elak ditahan Maritim

Tiga awak-awak warga Vietnam yang berumur antara 30 hingga 38 tahun ditahan oleh Maritim Kelantan.
A
A

PASIR PUTEH - Tindakan sebuah kapal nelayan Vietnam yang melepaskan tali ke dalam laut sambil bergerak bagi mengelakkan daripada ditahan gagal selepas berjaya dihidu anggota Agensi Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan.

Kapal Vietnam yang menceroboh perairan negara secara haram itu turut menggantung tangguk di bahagian belakang dan meletakkan besi penghadang ditahan menerusi Op Kuda Laut dan Damai pada Jumaat selepas dikejar selama 30 minit oleh Maritim Kelantan.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, semasa melakukan rondaan rutin pasukan berkenaan telah mengesan sebuah bot nelayan yang dikemudikan dalam keadaan mencurigakan pada jam 3 petang.

Menurutnya, bot itu kemudian berjaya ditahan pada jarak 57 batu nautika dari muara Tok Bali.

Kapal nelayan Vietnam yang berjaya ditahan Maritim Kelantan.
Kapal nelayan Vietnam yang berjaya ditahan Maritim Kelantan.

"Pemeriksaan ke atas bot mendapati terdapat seorang tekong dan tiga awak-awak warga Vietnam yang berumur antara 30 hingga 38 tahun.

"Kesemua yang ditahan itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Muhd Nur Syam Asmawie berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bot itu, Maritim Kelantan turut menemui 40 kilogram (kg) gamat yang dipercayai ditangkap di kawasan perairan negara, peralatan menangguk gamat dan 7,000 liter diesel.

"Kesemua nelayan asing dan bot dibawa ke Jeti Maritim Kelantan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985," katanya.

Katanya, komuniti maritim terutamanya di perairan Kelantan digesa melaporkan segera sebarang maklumat berkaitan kehadiran bot nelayan asing kepada pihak Maritim Malaysia.

"Sebarang maklumat boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Kelantan di talian 09-778 0070," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!