13 individu dirakam keterangan kes tular

Gambar tular beberapa individu yang melakukan provokasi berang apabila perarakan kenderaan ditahan polis di Sungai Siput pada Khamis lalu. Foto: Ihsan Pembaca.
Gambar tular beberapa individu yang melakukan provokasi berang apabila perarakan kenderaan ditahan polis di Sungai Siput pada Khamis lalu. Foto: Ihsan Pembaca.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Polis sudah merakam keterangan 13 individu bagi melengkapkan siasatan berhubung kes tular kononnya ada anggota pasukan keselamatan itu menghalang perarakan pengebumian mayat di Jalan Lintang di sini pada 25 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, keterangan itu turut membabitkan dua anggota Jabatan Sukarelawan (Rela) yang bertugas menjaga kawalan lalu lintas pada hari kejadian.

Menurutnya, seorang saksi bergelar Datuk Seri akan dipanggil bagi memberi keterangan dalam tempoh terdekat.

"Selepas selesai siasatan, kita akan rujuk kertas siasatan ini ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui pada Program Kayuhan Muhibbah Sempena Peringatan Hari Polis ke-214 di Dataran Karai berhampiran Jambatan Victoria di sini pada Sabtu.

Mohd Khaizam berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 188 iaitu mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa kawalan lalu lintas yang dijalankan dua anggota Rela di lampu isyarat ketika kejadian dilakukan sendiri tanpa arahan daripada pejabat Rela daerah.

"Kita menerima maklumat daripada pejabat Rela, mereka tidak mengarahkan bermakna ia (kawalan lalu lintas) dilakukan sendiri.

"Kita menasihatkan selepas ini mana-mana pihak tidak dibenarkan menjaga lalu lintas kecuali ada kebenaran membabitkan undang-undang," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas timbalan menteri dipanggil beri keterangan kes tular

Sinar Harian sebelum ini melaporkan beberapa gambar dan video tular di media sosial memaparkan provokasi yang dilakukan beberapa individu termasuk seorang bekas timbalan menteri yang berang perarakan kenderaan membawa mayat ditahan polis.