Ambil berat keperluan OKU, titah Raja Permaisuri Agong

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan titah ucapan secara maya pada Majlis Pelancaran Perkeso 'Functional Adaptive Clothing' pada Sabtu. - Foto Bernama
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan titah ucapan secara maya pada Majlis Pelancaran Perkeso 'Functional Adaptive Clothing' pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah agar semua pihak terus mengambil berat keperluan golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini.

Seri Paduka yang prihatin dengan kesejahteraan golongan OKU bertitah, semua pihak juga perlu terus mencetuskan inovasi untuk meningkatkan kualiti kehidupan serta penglibatan golongan itu dalam masyarakat.

Tunku Azizah turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KSM) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam membantu meningkatkan tahap kefungsian golongan OKU menerusi penghasilan pakaian ‘Perkeso Functional Adaptive Clothing’.

“Saya dimaklumkan, kesukaran golongan OKU mendapat pakaian yang bersesuaian telah menjadi titik tolak kepada KSM menerusi Perkeso untuk mengambil inisiatif dengan menjadi antara perintis dalam mereka bentuk dan menghasilkan ‘functional adaptive clothing’ yang dimulakan dengan konsep pakaian tradisional di Malaysia,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian secara maya pada Majlis Pelancaran Perkeso Functional Adaptive Clothing di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan.

Perkeso Functional Adaptive Clothing direka khas dengan fungsi fleksibel bagi memudahkan golongan OKU terutama yang lumpuh dan kekangan fizikal memakai pakaian dengan selesa.

Pusat Rehabilitasi Perkeso, Tun Abdul Razak mengambil inisiatif berkenaan dengan menghasilkan pakaian tradisional Malaysia yang dimulakan dengan Baju Kurung dan Baju Melayu dengan kerjasama pereka fesyen terkenal Nurita Harith.

Artikel Berkaitan:

Tunku Azizah yang berpeluang memakai pakaian itu bertitah, rekaan pakaian berkenaan mudah dipakai, potongan baju yang selesa dan kombinasi warna yang ceria dan menarik.

“Sememangnya ia nampak bergaya dan sesuai dipakai untuk apa jua acara, lebih-lebih lagi bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” titah Tunku Azizah. - Bernama