X

Kindly register in order to view this article
!

Kenyataan keras parti komponen tidak gugat BN

Ismail Sabri (tengah) sebelum merasmikan Program Bangkit 15 UMNO Negeri Johor di Hotel Trove, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A

JOHOR BAHRU - Kenyataan lantang dan keras yang dikeluarkan parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak memberi kesan atau menjejaskan keutuhan gabungan itu yang sudah lama terjalin.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya kritikan atau pandangan dilontarkan tidak akan menggugat perpaduan serta persefahaman sedia ada malah parti komponen itu masih kekal dalam BN.

Jelas beliau, semua kenyataan pemimpin MIC atau MCA yang dikeluarkan itu dapat diuruskan dengan baik dalam BN dengan semangat setiakawan.

"Memang dari dulu pun masa kita jadi kerajaan, kenyataan dibuat parti komponen agak keras tetapi kita tidak pernah berpecah. Apabila parti kita kalah banyak parti lain meninggalkan kita tetapi MIC dan MCA terus kekal bersama.

"Jadi perbezaan pandangan tidak memecah-belah BN," katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Bangkit 15 UMNO Negeri Johor di Hotel Trove di sini pada Sabtu.

Hadir sama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sebelum ini MIC memberi gambaran awal seolah-olah parti itu tidak bersetuju dengan keputusan UMNO yang memutuskan BN akan bertanding bersendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.

Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran menegaskan BN dan Perikatan Nasional (PN) perlu digabungkan selain parti itu akan terus menyokong pentadbiran kerajaan PN diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga keputusan muktamad Majlis Tertinggi BN.

Sementara itu, Ismail berkata, Program Bangkit 15 UMNO Negeri Johor itu adalah yang kelapan dan terakhir sebelum disambung semula selepas Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, program berkenaan akan disambung di Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Sabah yang memberi fokus kepada persediaan UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kursus ini (Program Bangkit 15 UMNO Negeri Johor) merupakan persiapan untuk PRU15 antaranya waktu sebelum dan selepas pengundian, kiraan undi dan semua latihan berkaitan.

"Jadi kita nak bersedia kerana tidak tahu bila PRU15. Darurat akan tamat pada Ogos dan dijangka kes Covid-19 juga berkurangan, seperti dijanjikan Perdana Menteri Parlimen akan dibubarkan.

"Harap PRU15 tak berlaku dalam bulan puasa atau raya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!