Bekalan barang basah mencukupi sepanjang Ramadan

Azman (dua dari kiri) mempromosikan jualan Q'Fish pada Pelancaran Program Jualan Prihatin Rakyat di pekarangan Pasaraya Mydin Taman Saga pada Sabtu.
Azman (dua dari kiri) mempromosikan jualan Q'Fish pada Pelancaran Program Jualan Prihatin Rakyat di pekarangan Pasaraya Mydin Taman Saga pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Bekalan barangan basah khususnya ikan dan ayam dijamin mencukupi untuk menampung keperluan penduduk di Kedah sepanjang Ramadan ini.

Exco Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama, Azman Nasruddin berkata, orang ramai diminta tidak bimbang dengan bekalan barangan basah berkenaan.

Menurutnya, beliau yakin tiada masalah bekalan sepanjang Ramadan tahun ini memandangkan barangan basah yang ada mencukupi untuk kegunaan pengguna di negeri ini.

"Bekalan ikan sentiasa ada memandangkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengeluarkan bekalan mentah 20 tan metrik ikan sejuk beku Q'Fish dengan harga berpatutan untuk pasaran Kedah.

"Jadi, tiada masalah bekalan dan ia memang cukup apatah lagi kita ada tangkapan ikan setiap hari," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Pelancaran Program Jualan Prihatin Rakyat di pekarangan Pasaraya Mydin Taman Saga di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah LKIM Kedah, Dr Abdul Salim Tajudin.

Azman berkata, bekalan ikan sejuk beku yang dijual lebih murah antara 10 hingga 30 peratus tanpa orang tengah pastinya membantu dan meringankan beban rakyat untuk menyambut Ramadan ini.

"Saya yakin bekalan barangan basah lain seperti ayam juga mencukupi apabila pembekal Ayam Bismi Sdn Bhd bersedia menyediakan bekalan cukup untuk masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata bagaimanapun pemantauan akan dilakukan semua agensi berkaitan pengeluaran industri bekalan makanan bagi memastikan ia mencukupi dan harga berpatutan.

Dalam perkembangan sama, katanya, Program Jualan Prihatin diadakan buat pertama kalinya tahun ini dirancang untuk diperluaskan ke lokasi lain bagi membolehkan penduduk mendapatkan barangan diperlukan sepanjang Ramadan.