DBKL larang agih makanan secara terus kepada gelandangan

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana individu dilarang mengagihkan sumbangan makanan kepada gelandangan secara terus di sekitar pusat bandar raya sepanjang Ramadan. Foto fail
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana individu dilarang mengagihkan sumbangan makanan kepada gelandangan secara terus di sekitar pusat bandar raya sepanjang Ramadan. Foto fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana individu dilarang mengagihkan sumbangan makanan kepada gelandangan secara terus di sekitar pusat bandar raya sepanjang Ramadan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan kawal selia itu dilaksanakan bagi mengelak berlaku pembaziran dan kekotoran selain mengekang penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, DBKL memaklumkan pengagihan makanan masih boleh diteruskan melalui dua pusat gelandangan iaitu di Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang dan Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tunku, selain satu pusat komuniti iaitu Pusat Pembelajaran Komuniti, Chow Kit.

“DBKL mendapati terdapat banyak pihak sama ada NGO, kumpulan atau individu yang mengagihkan makanan di lokasi-lokasi ‘hotspot’ gelandangan di pusat bandar antaranya sekitar Masjid Jamek, Pasar Seni dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Keadaan ini telah menimbulkan gangguan, ketidakselesaan kepada pemilik premis dan menunjukkan persepsi negatif masyarakat terhadap DBKL. Aktiviti pemberian makanan kelihatan tidak dapat dikawal terutama ketika bulan Ramadan,” menurut kenyataan itu.

Menurut DBKL, orang ramai yang ingin menyumbang perlu menghubungi talian 03-2617 6321 terlebih dahulu bagi tujuan penjadualan agihan dan mereka yang gagal mematuhi arahan yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: