Reputasi KDA FC tidak gugat pemain muda TFC

Pemain TFC meraikan gol kedua mereka untuk mengatasi KDA FC 2-1 di Stadium Darul Aman pada Jumaat. FOTO MALAYSIA FOOTBALL LEAGUE
Pemain TFC meraikan gol kedua mereka untuk mengatasi KDA FC 2-1 di Stadium Darul Aman pada Jumaat. FOTO MALAYSIA FOOTBALL LEAGUE
A
A
A

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Mahammad Zain memuji kesungguhan pemainnya muda yang tidak gentar berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC sehingga mengatasi tuan rumah 2-1 pada aksi Liga Super 2021 di Stadium Darul Aman pada Jumaat.

Menurutnya, reputasi yang dimiliki oleh Hijau Kuning sebagai sebuah pasukan yang beraksi di pentas AFC dan juga berada di kelompok atas Liga Super sedikit pun tidak mengendurkan semangat juang Sang Penyu sepanjang perlawanan.

"Kita tahu apabila datang ke sini bukan senang untuk menang apabila melihat kepada momentum KDA FC yang menang berterusan sebelum ini, namun kita datang memang mahu dapatkan tiga mata.

"Kita membuat persiapan dan kita percaya dengan apa yang dilakukan dan syukur apa yang dirancang semua pemain berjaya terjemah di atas padang pada malam ini.

"Majoriti pemain TFC adalah pemain muda dan dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh mereka adalah bagus untuk pasukan ini serta bola sepak Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada Jumaat.

Mengulas lanjut Mohd Nafuzi berkata, beliau mengakui kemenangan tersebut semangat bermakna kepada TFC selepas banyak keciciran mata di laman sendiri.

"Saya sangat berpuas hati dengan prestasi semua pemain dan lebih penting adalah kita mendapat tiga mata di laman lawan. Corak permainan malam ini dan juga pada perlawanan terdahulu adalah lebih kurang sama sahaja sebenarnya," katanya.

Kemenangan tersebut menyaksikan TFC naik ke tangga ketiga Liga Super 2021 dengan 15 mata selepas lapan perlawanan manakala KDA FC di tangga kedua dengan 16 mata dan JDT terus gah di persada liga dengan 17 mata, namun masih kurang satu perlawanan.

Artikel Berkaitan:

TFC akan menerima kunjungan Kuala Lumpur City FC di Stadium Mizan Zainal Abidin pada aksi seterusnya pada 16 April ini.