Eloklah kalau ada bukti rakaman

No Image Caption
A
A
A

ORANG tua bijaksana dahulu kala ada berperibahasa, ‘Lantai dan dinding bertelinga belaka’. Maka bahayalah kedudukan kita jika hendak berbicara secara rahsia. Apatah lagi kalau duduk di dalam bilik bersendirian dengan harapan tiada siapa yang mendengar percakapan rahsia kita, tetapi dinding dan lantai boleh curi-curi dengar pula.

Mungkin kalau curi-curi dengar tetapi tidak dihebohkan tidak apa, tetapi apabila dihebohkan maka riuh-rendahlah di media sosial. Rakyat jelata seperti biasa akan beri pelbagai pandangan. Maka hura-hara jadinya.

Saya membaca peristiwa tentang kebocoran rakaman audio antara dua orang ahli politik dengan penuh berhati-hati juga. Risau jika nanti percakapan saya dengan isteri mungkin akan dirakam dan disebarkan pula. Semua boleh jadi sekarang.

Kalau benar pun boleh sahaja dikatakan palsu dengan menyalahkan teknologi dan kalau salah boleh sahaja dikatakan tidak benar dengan menyalahkan teknologi juga. Maka kita rakyat jelata juga hendaklah berhati-berhati apabila bercakap perkara rahsia.

Walaupun isu percakapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih tidak mendapat kata putus adakah benar atau tidak, namun ramai juga yang percaya akan kebenaran percakapan rahsia ini. Cuma siapa yang merakamnya tidaklah diketahui.

Walaupun pelbagai spekulasi yang disajikan, namun mereka yang terlibat masih menafikan yang itu adalah suara mereka. Maka sama-sama kita tunggu akan keputusannya akan kebenaran rakaman tersebut.

Cuma saya melihat di antara mereka berdua, seorang daripadanya akan ada kelebihan dan seorang lagi mungkin nasib tidak menyebelahinya pula.

Perkataan akar umbi akan ditunggang untuk menyatakan pendirian parti agaknya seperti, “akar umbi sudah tidak percaya, akar umbi mahukan pemilihan parti diadakan segera” dan macam-macam lagi oleh pihak yang lain.

Artikel Berkaitan:

Walaupun teknologi begini sebenarnya boleh menjadi keburukan jika disalah guna, namun kita kena akui juga yang ia banyak beri kesan yang baik. Terutama jika kita gunakannya untuk merakam arahan daripada bos.

Lupa

Sekurang-kurangnya kita ada bukti untuk menpertahankan diri. Sebab bos pun kadangkala terlupa juga disebabkan kesibukan. Sekejap kata lain dan sekejap lagi lain pula katanya.

Jadi paling selamat rakam sahaja dialog percakapan dan apabila ada perkara berbangkit kita boleh perdengarkan sahaja rakaman tersebut. Cuma kadangkala sebagai pekerja ada yang risau apabila merujuk kepada slogan kata, ‘bos sentiasa betul’.

Silap-silap tidak dapat naik gaji atau bonus jika selalu sahaja menyalahkan bos yang mudah terlupa dan yang suka cakap tidak serupa bikin.

Sekarang juga dengan teknologi, kita boleh merakam mesyuarat dalam talian menggunakan aplikasi tertentu. Rakaman tersebut boleh sahaja disimpan dan disemak kembali apabila ingin memastikan arahan dan kata putus yang telah dicapai. Maka tidak ada alasan lagi untuk cuba berdolak dalih.

Selain itu kita juga boleh menggunakan teknologi rakaman ini untuk merakam pesanan isteri kita. Bukan apa, isteri pun kadangkala lupa juga. Nanti kita sebagai suami akan dimarahi pula apabila tersilap terutama dalam membeli barang dapur.

Walaupun kita boleh sahaja menulis, tetapi lebih baik rakam sahaja pesanan isteri. Ini akan menjadi bukti jika kita dikatakan tersilap membeli. Contohnya isteri berkeras menyatakan pesanannya membeli ikan kembung, maka kita mainkan semula rakaman audio yang menyatakan isteri kita sebenarnya memesan ikan cencaru.

Cuma kita berharap janganlah isteri kita nanti menafikan itu bukan suara dia dan menyatakan ini semua salah teknologi yang telah dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com