Isu 'kerusi' burukkan hubungan Turki dengan Itali, EU

Recep Tayyip Erdogan (tengah) berdiri bersama Presiden Majlis Presiden Eropah, Charles Michel (kiri) dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen (kanan) di Istana Presiden Turki, Ankara pada Selasa lalu. - Foto AFP
Recep Tayyip Erdogan (tengah) berdiri bersama Presiden Majlis Presiden Eropah, Charles Michel (kiri) dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen (kanan) di Istana Presiden Turki, Ankara pada Selasa lalu. - Foto AFP
A
A
A

HUBUNGAN antara Turki dengan Itali dan Kesatuan Eropah (EU) kian tegang hanya disebabkan oleh isu kerusi Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen yang tidak disediakan pada pertemuan rasmi di Istana Presiden Turki, Ankara baru-baru ini.

Pada mulanya, pertemuan tersebut yang diadakan pada Selasa lalu itu melibatkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dengan Presiden Majlis Presiden Eropah, Charles Michel dan Leyen.

Pertemuan itu yang diadakan dengan tujuan bagi memperbaiki hubungan antara Ankara dengan EU bagaimanapun bertukar menjadi perbalahan melibatkan Turki dengan kesatuan ekonomi tersebut.

Hal ini kerana apabila ketiga-tiga pemimpin itu memasuki tempat pertemuan, hanya terdapat dua kerusi masing-masing yang dihiasi dengan bendera Turki dengan EU di istana tersebut.

Dua kerusi itu diduduki oleh Erdogan dan Michel yang juga bekas Perdana Menteri Belgium manakala Leyen dibiarkan berdiri hanya duduk di atas sebuah sofa berhadapan dengan kedua-dua kerusi.

"Ehm," kata Leyen ketika memandang ke arah Michel dan Erdogan sebelum gambar rasmi menunjukkan tempat duduknya di atas sebuah sofa berhadapan dengan Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu.

Covusoglu dilaporkan berkata bahawa susun atur kerusi itu telah dibuat berdasarkan kepada cadangan daripada kesatuan tersebut tetapi EU menyatakan bahawa pasukan protokol berkenaan tidak dibenarkan memasuki bilik yang menjadi tempat pertemuan para pemimpin berkenaan.

Menurut pasukan protokol berkenaan, jika dibenarkan memasuki bilik berkenaan sudah pasti pihaknya menggantikan sofa tersebut dengan kerusi untuk Leyen.

Artikel Berkaitan:

Isu mengenai kerusi berkenaan kemudian dikenali sebagai 'sofagate' di Twitter dan mendapat lebih perhatian semasa pertemuan pertama antara Turki dengan EU dalam tahun ini.

Leyen (berdiri) memerhatikan Erdogan (kanan) dan Michel (tengah) di Istana Presiden Turki, Ankara pada Selasa lalu. - Foto AFP
Leyen (berdiri) memerhatikan Erdogan (kanan) dan Michel (tengah) di Istana Presiden Turki, Ankara pada Selasa lalu. - Foto AFP

Ketiga-tiga pemimpin itu cuba untuk memperbaiki hubungan selepas beberapa bulan berbalah berhubung pelbagai isu termasuk tindakan Turki menghantar kapal-kapal menggerudi dasar laut di Mediterranean Timur.

Turki juga telah menolak sempadan maritim yang turut dituntut oleh Cyprus yang ditadbir Greece di rantau tersebut.

Negara itu juga berdepan dengan isu para pencari suaka politik Syria yang menetap di Turki tetapi mahu pergi ke EU melalui Greece.

Turki ketika ini menempatkan lebih tiga juta migran Syria dan EU cuma berminat dengan pengurusan migrasi.

Namun, EU tidak memenuhi janji kewangannya ke atas pelarian Syria yang kini tinggal di Turki.

Beberapa kumpulan Eropah turut menuntut supaya satu siasatan dilakukan bagaimana Leyen boleh berdiri ketika Michel duduk di atas kerusi.

Namun, dalam isu kerusi itu, terdapat tuduhan bahawa Turki bersikap seperti memperjuangkan kepentingan golongan lelaki setelah negara berkenaan menarik keluar daripada menyertai Konvensyen Istanbul yang menentang keganasan terhadap jantina sebulan lalu.

Konvensyen Istanbul itu dinamakan sempena nama bandar Istanbul di Turki iaitu tempat perjanjian tersebut ditandatangani pada tahun 2011.

Pada tahun lalu, Ankara juga menghantar beberapa buah kapal tentera laut bagi mengawal keselamatan sebuah kapal menggerudi dasar laut dalam yang misi mencari minyak dan gas di Mediterranean Timur.

Perbalahan mengenai isu kerusi tersebut turut dibangkitkan oleh Perdana Menteri Itali, Mario Draghi yang menuduh Erdogan sebagai seorang yang zalim.

Menurut AFP, Draghi menuduh Erdogan menjadi seorang diktator kerana mengadakan pertemuan dengan dua pemimpin kanan EU tetapi tidak menyediakan kerusi untuk Leyen di Istana Presiden Turki.

Berikutan tuduhan yang dibuat itu, Kementerian Luar Turki memanggil Duta Itali ke negara tersebut bagi membantah kenyataan Draghi berhubung insiden Leyen menjadi subjek yang memalukan dalam isu kerusi tersebut.

Omer Celik iaitu jurucakap Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) pimpinan Erdogan berkata, beliau kesal dengan kenyataan Perdana Menteri Itali itu kerana ia tidak menggambarkan hubungan mendalam antara Turki dengan negara tersebut.

Isu itu turut diulas oleh seorang jurucakap Leyen iaitu Eric Memer yang memberitahu pemberita bahawa Presiden Suruhanjaya Eropah tersebut menyatakan isu mengenai kerusi tersebut perlu dianalisis supaya ia tidak lagi berulang lagi pada masa depan. - Agensi