Chong Wei harap mampu 'hadiah' emas pertama Olimpik

Chong Wei meraih pingat perak dalam tiga temasya Sukan Olimpik sebelum ini.
Chong Wei meraih pingat perak dalam tiga temasya Sukan Olimpik sebelum ini.
A
A
A

WALAUPUN mengalami kegagalan selama tiga kali berturut-turut di pentas Olimpik, Datuk Lee Chong Wei masih mengharapkan ‘kemunculannya’ di pentas Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan mampu menjelmakan emas pertama buat negara.

Namun, Chong Wei yang bukan lagi turun berjuang sebagai seorang atlet, sebaliknya sebagai Chef de Mission (CDM) ke temasya di ibu kota Jepun itu, beliau mengharapkan atlet negara yang bertanding pada temasya sukan terbesar dunia berkenaan, mampu merealisasikan impiannya seterusnya mencipta sejarah dan kejayaan gemilang buat negara.

“Saya memang tidak kisah kalau saya tidak dapat emas untuk negara, asalkan pasukan yang saya 'bawa' ini dapat meraih emas Olimpik pertama untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perjanjian Kerjasama Antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Yonex di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di Kuala Lumpur.

Legenda badminton tanah air itu menarik perhatian, selain jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang menjadi prospek utama emas negara di Tokyo itu, beliau yakin atlet lain dari kem badminton dan terjun, mempunyai peluang untuk menghadiahkan emas Olimpik itu.

Beliau pada masa sama akan mengadakan perbincangan bersama Majlis Olimpik Malaysia tidak lama lagi, mengenai tatacara pengurusan atlet bertanding di Tokyo ketika musim pandemik Covid-19 yang masih melanda dunia sehingga kini.

“Ini masa mencabar bagi atlet di Tokyo, saya tidak tahu lagi macam mana pengurusan termasuk perjalanan pergi dan pulang, dari perkampungan sukan ke venue serta makanan yang bakal dihidangkan,” katanya.

Beliau juga berharap para atlet dapat bersedia dari segi mental dan fizikal, untuk menyertai Sukan Olimpik yang dijalankan dalam waktu penuh mencabar ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Chong Wei meraih tiga pingat perak berturut-turut dalam acara perseorangan badminton lelaki pada temasya Olimpik di Beijing, China (2008); London, United Kingdom (2012); dan Rio, Brazil (2016). - Bernama