Angin, ombak di Desaru beri gambaran awal Olimpik Tokyo

Khairulnizam bakal beraksi dalam acara laser radial pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Khairulnizam bakal beraksi dalam acara laser radial pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
A
A
A

FAKTOR kelajuan angin, ombak dan laut terbuka di Desaru, dekat sini, diharap dapat membantu atlet pelayaran negara bagi mendapatkan gambaran awal suasana pertandingan bakal dihadapi ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Julai ini.

Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, pendedahan terhadap suasana ini penting memandangkan kekangan dihadapi pelayar negara berikutan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

"Sepatutnya mereka sudah berlatih dan bertanding di beberapa kejohanan antarabangsa. Oleh kerana kekangan itu, jurulatih merasakan perlunya alternatif supaya ada pendedahan berterusan yang sesuai diberikan kepada mereka.

"Dari segi kesesuaian, (Desaru) ada laut terbuka...ombak dan anginnya juga dalam anggaran 12 hingga 14 knot...tidak jauh dari anggaran kelajuan angin di Hiroshima (Jepun) nanti iaitu dianggarkan sekitar 18 hingga 20 knot," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di Kota Tinggi pada Jumaat.

Kamaruzzaman berkata, situasi latihan di Desaru juga hampir sama dengan suasana pertandingan ketika temasya yang amat diperlukan atlet pada masa ini, yang berbeza daripada suasana latihan di Langkawi sebelum ini.

"Jadi, sementara kita dapat mengintai peluang di mana mereka boleh berlatih semula di luar negara sebelum Olimpik...maka di sini (Desaru) dipilih kerana persamaannya (dengan keadaan pertandingan sebenar)," katanya.

Selain meningkatkan kecergasan atlet secara berterusan, tumpuan kali ini lebih menitikberatkan pendedahan di laut terbuka dan menumpukan kepada strategi yang akan digunakan oleh atlet dalam menghadapi pencabar dari negara lain.

Untuk rekod, empat atlet pelayaran telah menempah tiket ke temasya sukan berprestij itu iaitu Khairulnizam Mohd Affendy (laser radial), Nur Shazrin Mohamad Latif (laser radial) dan gandingan Nuraisyah Jamil serta Juni Karimah Noor Jamali (International 470).

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai latihan luar negara, Kamaruzzaman berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk menghantar Nur Shazrin, Nuraisyah dan Juni Karimah untuk latihan dan kejohanan antarabangsa akhir bulan depan.

"Susulan pandemik, kejohanan sukar dilaksanakan... apa yang dilakukan oleh negara-negara lain, mereka juga perlu latihan. Jadi mereka telah bekerjasama dalam kalangan mereka untuk membuat latihan dan pertandingan secara tidak rasmi.

"Keperluan untuk latihan secara berkelompok dalam kalangan pelayar di peringkat Olimpik dan ranking dunia ini memang diperlukan oleh seluruh negara. Contohnya, Khairulnizam yang kini berada di Sepanyol, dia sedang mengikuti program sebegini," katanya.

Nur Shazrin dijangka menjalani program sama di Belanda dan Itali manakala Nuraisyah dan Juni Karimah yang membuat penampilan sulung ke Tokyo 2020, akan ke Greece.

"Bagi Nuraisyah dan Juni Karimah, mereka adalah gandingan baharu, terutama Juni yang masih muda dan belum ada pendedahan begitu luas di luar negara.

"(Berbeza dengan) Nuraisyah yang sudah banyak kali bertanding di peringkat antarabangsa dan pernah memenangi pingat bukan sahaja di Sukan SEA tetapi juga di Sukan Asia," katanya.

Buat masa ini, semua mereka berlatih di Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara (KRMSAU) di Desaru, bersama atlet pelapis sukan pelayaran, di bawah bimbingan jurulatih, Mohd Hafizi Roslee dan Muhammad Sahir A Rahim. - Bernama