Tiga premis barangan tiruan diserbu KPDNHEP

Serbuan dilakukan di tiga lokasi berbeza di Kota Bharu pada Khamis selepas risikan selama seminggu.
Serbuan dilakukan di tiga lokasi berbeza di Kota Bharu pada Khamis selepas risikan selama seminggu.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga premis menjual barangan tiruan di tiga lokasi berbeza diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada pagi Khamis.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, melalui tiga serbuan tersebut, pihaknya merampas barang tiruan berjenama dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM47,750.

Menurutnya, operasi bersepadu bermula jam 9 pagi itu melibatkan KPDNHEP Kota Bharu bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Pengkalan Kubor serta wakil pemilik cap dagang.

"Operasi yang dilaksanakan semalam bagi membanteras aktiviti jualan barangan tiruan, penggunaan cap dagangan tanpa kelulusan dan tanpa kebenaran.

"Pasukan operasi membuat serbuan serentak dengan berbeza lokasi iaitu dua di Kota Bharu dan satu lokasi di Pasir Mas melalui pengaduan oleh wakil pemilik tersebut hasil daripada pemantauan dan risikan pihak pengadu selama seminggu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, serbuan pertama di Simpang 4,Tendong Pasir Mas merupakan premis percetakan pakaian dan hasil pemeriksaan mendapati banyak 260 helai baju T jenama terkenal ditemui dengan nilai rampasan sebanyak RM6,500.

Serbuan kedua pula, katanya, ia dijalankan di sebuah premis percetakan pakaian di lokasi Kampung Rupek, Pendek di sini dan berjaya menjumpai sebanyak 298 helai baju T berjenama terkenal pelbagai warna dan saiz dengan nilai rampasan sebanyak RM7,450.

"Serbuan ketiga ialah di premis menjual pakaian di Kota Bharu dan pasukan operasi berjaya mengesan sebanyak 154 pasang kasut berjenama terkenal pelbagai saiz dan warna dengan nilai rampasan sebanyak RM33,800.

Artikel Berkaitan:

"Pekerja bagi setiap premis ditahan bagi siasatan lanjut dan ketiga-tiga mereka merupakan lelaki berumur linkungan 20-an dan mengakui sebagai pekerja premis perniagaan tersebut.

"Modus operandi mereka ialah dengan membuat belian dari luar negara dan mencetak pakaian berjenama terkenal tersebut.

"Kemudian mereka menjual secara dalam talian dan langsung bagi mengaburi pihak berkuasa supaya tidak dapat mengesan aktiviti yang dijalankan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat dibawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki melakukan kesalahan iaitu mempunyai dalam milikan jagaan dan kawalan bagi maksud perdagangan.