Peruntuk RM15 juta untuk GAM

Che Abdullah (tiga dari kanan) bersama Nur Adila (dua dari kanan) menunjukkan pizza yang diusahakan usahawan muda tersebut di Kubang Semang, Bukit Mertajam pada Jumaat.
Che Abdullah (tiga dari kanan) bersama Nur Adila (dua dari kanan) menunjukkan pizza yang diusahakan usahawan muda tersebut di Kubang Semang, Bukit Mertajam pada Jumaat.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan seramai 750 golongan muda menerima Geran Agropreneur Muda (GAM) dengan nilai kelulusan sebanyak RM15 juta tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi bagaimanapun berkata, jumlah bagi tahun ini kurang berbanding tahun lalu iaitu seramai 1,149 penerima dengan nilai kelulusan sebanyak RM21 juta.

Beliau berkata, pengurangan sasaran itu disebabkan kementerian telah memperkenalkan Agro-Youth Entrepreneur Scheme (Agro-YES) untuk menarik lebih ramai golongan muda yang berusia 18 sehingga 40 tahun menceburi bidang pertanian.

"Produk Agro-YES yang dihasilkan di bawah pembiayaan khas Agropreneur Muda diyakini mampu mengimbangi pengurangan sasaran jumlah usahawan muda di bawah program GAM ketika ini. Oleh itu, kita menyasarkan hanya seramai 750 penerima geran pada tahun ini berbanding 1,149 pada tahun lalu.

"Pemberian geran ini bertujuan membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sektor agromakanan yang merangkumi semua bidang di sepanjang rantaian nilai.

"Antaranya ialah tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani termasuk pemasaran, latihan dan kursus teknikal, penyediaan perkhidmatan sokongan dan input pertanian serta agropelancongan," katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Pulau Pinang pada Jumaat.

Che Abdullah berkata, kementerian juga akan sentiasa bergerak untuk menghulurkan bantuan kepada usahawan yang memerlukan.

"Saya berharap usahawan dapat memanfaatkan bantuan yang disalurkan kepada mereka sama ada di bawah Agro-YES atau GAM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan kerjanya, Che Abdullah berkata, ia diadakan untuk merapatkan hubungan antara kementerian dan golongan sasar.

"Selain itu pihak kementerian juga boleh menyampaikan segala maklumat dan informasi berkaitan bantuan dan inisiatif kepada rakyat.

"Saya juga menyampaikan replika cek kelulusan GAM untuk tahun 2020 bagi Pulau Pinang yang melibatkan seramai 51 penerima dengan nilai kelulusan sebanyak RM0.96 juta," katanya.

Menurutnya, menerusi lawatan itu juga, beliau melawat empat agropreneur muda yang terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan.

Dua daripada mereka ialah Anuar Ayob yang menjalankan projek pemprosesan produk yee mee di Pokok Sena, Kepala Batas dan Mohd Naim Othman yang menjalankan projek tanaman sayuran di Pengkalan Batu, Tasek Gelugor.

"Anuar adalah penerima bantuan GAM pada tahun 2019 berjumlah RM 15,000," katanya.

Dua lagi ialah Huzaifah Harun yang melaksanakan projek ternakan biri-biri dan kambing tenusu di Guar Petai, Tasek Gelugor dan Nur Adila Anuar yang menjalankan projek pemprosesan base pizza di Guar Jering, Kubang Semang.