ECRL: Terowong Paka disiapkan enam bulan lebih awal

Kerja-kerja penggalian Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terowong Paka berjaya mencapai kemajuan sehingga 98.5 peratus dan disiapkan enam bulan lebih awal dari jadual. - Foto Bernama
Kerja-kerja penggalian Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terowong Paka berjaya mencapai kemajuan sehingga 98.5 peratus dan disiapkan enam bulan lebih awal dari jadual. - Foto Bernama
A
A
A

DUNGUN - Kerja-kerja penggalian Terowong Paka Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini berjaya mencapai kemajuan sehingga 98.5 peratus dan disiapkan enam bulan lebih awal daripada dijadualkan, kata Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, penggalian terowong itu telah dilakukan dengan pantas dan cekap meskipun berdepan pelbagai cabaran ketika fasa pembinaan termasuk rundingan semula antara kerajaan Malaysia dan China serta penangguhan kerja-kerja pembinaan selama sembilan bulan ekoran wabak Covid-19.

“Pencapaian (sehingga 98.5 peratus) merupakan hasil usaha selama 620,000 jam bekerja dengan pelaksanaan kaedah gerudi dan letup terowong yang telah berjaya menembusi batuan granit terluluhawa sederhana semasa kerja-kerja penggalian bagi Terowong Paka.

“Aktiviti letupan tersebut telah dilakukan oleh pakar letupan tempatan dengan dipantau kontraktor utama ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL). Lapisan kekal terowong telah mencapai kemajuan memberangsangkan yang merangkumi 850 meter dengan ketinggian 11.8 meter dan kelebaran 12.9 meter, “ katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara letupan terakhir Terowong Paka di sini pada Jumaat.

Menurut Mohd Zuki, terowong Paka dibina untuk mengelak penebangan terbuka serta memelihara hutan simpan apabila melintasi kawasan pesisiran daerah itu.

Penggalian telah bermula dari pintu masuk terowong (portal utara) pada April 2018, namun dihentikan pada Julai 2018 kerana penangguhan projek ECRL untuk rundingan semula di antara kedua-dua kerajaan dan ia disambung pada Ogos 2019 selepas pelancaran semula projek ECRL pada 25 Julai 2019.

Penggalian terowong menggunakan kaedah gerudi dan letup yang dilakukan oleh pakar letupan tempatan dengan dipantau kontraktor utama ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd. - Foto Bernama
Penggalian terowong menggunakan kaedah gerudi dan letup yang dilakukan oleh pakar letupan tempatan dengan dipantau kontraktor utama ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd. - Foto Bernama

Mohd Zuki, yang juga Ketua Setiausaha Negara berkata, kemajuan kerja di terowong itu adalah hasil usaha dan komitmen kira-kira 100 kakitangan ECRL dari semua peringkat dan kerja-kerja sivil pembinaan terowong dijangka akan siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2022.

Artikel Berkaitan:

"Penembusan terowong pada hari ini adalah hasil kerjasama dan sokongan antara MRL dan CCC-ECRL yang mempraktikkan teknologi, peralatan, perancangan dan aspek keselamatan yang bertahap tinggi dalam kejuruteraan dan pembinaan terowong.

“Penglibatan pekerja tempatan dalam pembinaan terowong juga amat membanggakan dengan adanya jurutera dan juruteknik yang berkemahiran... pengalaman mereka akan dimanfaatkan untuk pembinaan lebih banyak terowong pada masa akan datang,” katanya yang turut menegaskan tiada sebarang penambahan bajet sebagaimana diputuskan sebelum ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bal Yinzhan.

Selain itu, Mohd Zuki berkata, penembusan terowong kedua di Terengganu dijangka akan dilakukan pada pertengahan Jun 2021 setelah penggalian Terowong Dungun sepanjang 871 meter yang kini mencapai tahap melebihi 760 meter.

“Pembinaan Projek ECRL kini semakin giat dijalankan dengan pembinaan beberapa buah terowong yang panjangnya berjumlah 14.9 kilometer di Seksyen B (Dungun-Mentakab). Kebanyakan terowong tersebut telah mencapai tahap kemajuan optimum bagi kerja-kerja penggalian keseluruhan projek yang kini telah mencapai 21.39 peratus pada Mac 2021," katanya.

Tambah beliau, terdapat 59 terowong untuk projek ECRL dan berharap kejayaan pembinaan di terowong Paka itu akan menjadi dorongan dalam memastikan keseluruhan projek ECRL (kira-kira 61 kilometer) dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Projek ECRL yang merangkumi rangkaian rel sepanjang 665 kilometer akan merentasi negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

ECRL menjimatkan masa perjalanan dan akan menghubungkan Kota Bharu dengan Terminal Bersepadu Gombak (ITT) dalam masa empat jam. - Bernama