Audio mirip Anwar, Zahid: Serah kepada siasatan polis

Mohamed Khaled (depan) selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Insentif Johor Berkebajikan E-Kasih 2021 di Dewan Raya Taman Air Biru, Pasir Gudang pada Jumaat.
Mohamed Khaled (depan) selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Insentif Johor Berkebajikan E-Kasih 2021 di Dewan Raya Taman Air Biru, Pasir Gudang pada Jumaat.
A
A
A

PASIR GUDANG - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamaed Khaled Nordin menyerahkan kepada siasatan polis berhubung isu audio yang dikatakan perbualan mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengakui ada mendengar audio berkenaan, namun enggan memberikan pendapat berkenaan rakaman suara itu sama ada mempunyai ciri-ciri ketulenan atau sebaliknya.

"Saya bukan pihak polis (untuk sahkan audio berkenaan tulen atau tidak). Katanya (Zahid Hamidi) nak report polis (jadi) biar polis siasat...yang lain tu nak cakap dah tak guna, biar polis siasat.

"We just want to know the truth (kita hanya mahu tahu kebenarannya). Biar polis siasat," katanya mengulas mengenai audio berkenaan yang kini menjadi tular dalam media sosial dan menjadi isu dalam UMNO.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Insentif Johor Berkebajikan E-Kasih 2021 di Dewan Raya Taman Air Biru di sini pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman audio didakwa mirip suara Anwar-Ahmad Zahid tersebar

Pada Rabu, sebuah rakaman audio berdurasi empat minit didedahkan dikaitkan dengan Zahid dan Anwar yang saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas perwakilan-perwakilan UMNO bersetuju dengan usul Zahid supaya parti itu memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Dalam rakaman itu, Zahid turut mengungkapkan terima kasih kerana Anwar memberikan sokongan moral kepadanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Zahid Hamidi dan Anwar kemudian menafikan suara dalam audio berkenaan adalah perbualan mereka dan masing-masing menyatakan hasrat untuk membuat laporan polis.

Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor enggan mengulas ketika ditanya sama ada wajar desakan supaya Zahid berundur dan sama ada isu itu akan memecahbelahkan parti.

Jelasnya, beliau mempunyai saluran sendiri dalam parti sebagai seorang daripada lima pemimpin tertinggi UMNO untuk menyuarakan sebarang komen atau pendapat.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pasir Gudang berkata, peruntukan berjumlah RM469,800 diberikan kepada 783 penerima dalam Zon Pasir Gudang dan Zon Tebrau.

Tambah beliau, penerima dipilih daripada senarai e-kasih menerima RM300 sebulan selama dua bulan yang akan diberikan sebelum Hari Raya Aidilitri.