Solat tarawih: Jumlah jemaah bergantung keluasan masjid, surau

Abdul Aziz (tiga dari kanan) bersama Mohd Zawawi (dua dari kanan) sewaktu memperkenalkan Ustaz Don Daniyal sebagai Ikon Muhibbah YIDE.
Abdul Aziz (tiga dari kanan) bersama Mohd Zawawi (dua dari kanan) sewaktu memperkenalkan Ustaz Don Daniyal sebagai Ikon Muhibbah YIDE.
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah jemaah bagi solat sunat tarawih di Selangor adalah bergantung kepada keluasan sesebuah masjid atau surau.

Exco Hal Ehwal Agama, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah memberi taklimat kepada pengerusi dan nazir di negeri ini berhubung prosedur operasi standard (SOP) solat tarawih pada Ramadan ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk tidak menghebahkan SOP berkenaan kepada umum bagi mengelakkan salah faham dan penyalahgunaan.

"Jadi kita taklimatkan sahaja kepada nazir dan pengerusi masjid yang bertanggungjawab memastikan protokol kesihatan sepanjang solat tarawih.

"Ia (SOP solat tarawih) sama seperti solat Jumaat dan jemaah kena bawa sejadah sendiri, semakan suhu dan memakai pelitup muka," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Hi-Tea Tautan Ukhwah Syarikat Korporat dan Menandatangani MoU Ikon Mahabbah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di Acapella Hotel pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi YIDE, Datuk Bakhtiar Hussin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Dalam majlis itu, pendakwah selebriti, Ustaz Don Daniyal Don Buyajid turut dipilih sebagai Ikon Mahabbah YIDE yang akan membantu agensi berkenaan bagi mendapatkan kutipan sumbangan orang awam atau pihak swasta melalui program-program yang dilaksanakan.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenaan untuk mengekalkan pelaksanaan solat tarawih di masjid dengan 20 rakaat, namun bacaannya perlu menggunakan ayat ringkat atau Surah Lazim.

Artikel Berkaitan:

"Kuliah juga akan dilaksanakan selepas solat Maghrib dan sebelum solat Isyak.

"Mereka yang ingin mengikuti solat tarawih perlu mendaftar borang menggunakan Google Form yang disediakan oleh masjid masing-masing," katanya.