Lelaki ditikam kerana hutang

Pergaduhan empat lelaki tersebut berlaku di lobi sebuah hotel di Jalan Pangkor. Gambar kecil: Soffian
Pergaduhan empat lelaki tersebut berlaku di lobi sebuah hotel di Jalan Pangkor. Gambar kecil: Soffian
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Dua lelaki cedera selepas terlibat dalam pergaduhan kerana masalah hutang di lobi sebuah hotel di Jalan Pangkor di sini pada jam 4.58 pagi, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian berpunca selepas seorang wanita berusia 29 tahun menghubungi suspek dan meminta suspek membayar wang bernilai RM800 yang dipinjamnya sebelum ini.

Menurutnya, suspek yang berusia 30 tahun telah ke lokasi kejadian bersama rakannya untuk bertemu dengan wanita tersebut yang juga kenalan mereka.

"Ketika suspek dan rakannya tiba di lokasi, wanita tersebut sudah menunggu mereka bersama dua lelaki lain yang mana salah seorangnya adalah tunang kepada wanita berkenaan.

"Ketika itu, berlaku pergaduhan sehingga menyebabkan dua daripada empat lelaki tersebut cedera. Bagaimanapun, dua lagi lelaki dan wanita tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Soffian berkata, tunang kepada wanita tersebut mengalami luka di atas kepala, manakala seorang lelaki lagi luka di perut sebelah kiri.

"Tunang wanita tersebut cedera di kepala dipercayai dipukul menggunakan topi keledar, manakala seorang lagi perut ditikam dengan senjata tajam iaitu pisau.

"Kedua-duanya tidak mengalami kecederaan organ dalaman dan dilaporkan stabil. Mereka kini ditahan di wad Hospital Pulau Pinang untuk rawatan," katanya

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keempat-empat lelaki berusia lingkungan 25 hingga 33 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.

"Siasatan di tempat kejadian telah menemui pisau lipat sepanjang 5 sentimeter (cm).

"Polis juga akan meneliti rakaman kamera tertutup (CCTV) di tempat kejadian untuk membantu siasatan," katanya.

Katanya, tiga daripada tangkapan mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.

"Dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine. Keempat-empat suspek ditahan reman sehingga esok (Sabtu).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan," katanya.