Laman web jual 'pasport' Covid-19 palsu dikesan

Denmark kesan laman web yang menjual sijil atau pas vaksin Covid-19 palsu - Foto 123RF
Denmark kesan laman web yang menjual sijil atau pas vaksin Covid-19 palsu - Foto 123RF
A
A
A

MURMANSK - Portal kesihatan awam Denmark sundhed.dk membuat aduan mengenai laman web yang menjual sijil atau pas vaksin Covid-19 palsu, lapor Sputnik.

Pengarah portal itu, Morten Elbek Petersen pada Khamis berkata, laman web yang menawarkan pasport atau sijil ujian Covid-19 palsu itu dikesan memulakan operasi mereka baru-baru ini.

Pada Selasa, Denmark menjadi negara pertama di Eropah melancarkan 'pasport' Covid-19 yang membolehkan perniagaan tidak penting beroperasi semula.

Dikenali 'coronapas' ia boleh diperolehi dalam format kertas atau melalui portal dan aplikasi MinSundhed.

"Kami boleh mengesan pasport atau sijil ujian Covid-19 palsu. Sebaik kami kesan seseorang cuba memanipulasi data, kami segera maklumkan perkara itu kepada pihak polis," kata Petersen.

Menurut Petersen, terdapat perbezaan ciri tertentu antara pasport asli dan palsu.

Coronapas diberikan kepada mereka yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 sepenuhnya, pulih daripada jangkitan atau diuji negatif dalam tempoh 72 jam.

Dengan Coronapas membolehkan pemiliknya mengunjungi tempat awam seperti salon kecantikan dan dandanan rambut, bemula 21 April manakala restoran, muzium, teater dan pawagam, bermula 6 Mei. - Bernama

Artikel Berkaitan: