AADK-UPM bekerjasama dalam program rawatan, pemulihan dadah

AADK bersama UPM bekerjasama dalam program rawatan dan pemulihan dadah kepada penagih.
AADK bersama UPM bekerjasama dalam program rawatan dan pemulihan dadah kepada penagih.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) bekerjasama dalam program rawatan dan pemulihan dadah kepada penagih.

Pengarah AADK Selangor, Dr Nazira Sadiron berkata, kerjasama ini selari dengan matlamat ketiga dalam Matlamat Pembangunan Mapan (Sustainable Development Goals - SDG).

"Matlamat Pembangunan Mapan iaitu menguatkan pencegahan dan rawatan penyalahgunaan bahan, termasuk penyalahgunaan dadah narkotik dan penggunaan alkohol yang berbahaya demi mencapai masyarakat yang sihat dan sejahtera.

"Penglibatan universiti sangat penting dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah ini kerana mereka kaya dengan sumber ilmu dan penyelidikan, manakala AADK merupakan agensi yang melaksana rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan secara praktikal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani hasrat kerjasama dalam program rawatan dan pemulihan dadah di sini pada Jumaat.

Katanya, AADK juga telah memilih Selangor sebagai negeri rintis pertama bagi pelaksanaan secara menyeluruh program rawatan psikososial menggunakan Modul Bimbingan Kepimpinan Kendiri (SLC) dan sistem pendigitalan pengurusan klien menggunakan aplikasi iPulih.

"SLC adalah singkatan kepada Self-Leadership Coaching.

"Modul ini merupakan inovasi sosial oleh Pensyarah Psikologi di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profsor Madya Dr. Hanina H Hamsan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Hanina berkata, idea pembangunan modul SLC tercetus selepas program di CCRC Jelebu, Negeri Sembilan pada tahun 2017.

"Seterusnya pada tahun 2018-2019, kumpulan rintis dilaksanakan di Negeri Sembilan dengan kadar kejayaan kekal pulih dari penagihan sebanyak 82.4% (14/17 klien).

"Hasil kejayaan tersebut, Modul SLC telah dipilih sebagai salah satu program rawatan psikososial di peringkat ibu pejabat AADK dengan pelaksanaan di kawasan rintis Petaling Jaya Selatan Zon 1-6, melibatkan 82 klien pada tahun 2020," katanya.

Jelasnya, pengguna modul adalah klien AADK yang mana mereka perlu hadir sekali bulan ke AADK daerah untuk melapor diri dan mengikuti program rawatan pemulihan.

"Berdasarkan data AADK, jumlah klien dalam institusi (65,489 orang) dibahagikan kepada tiga iaitu dalam pusat pemulihan dan pusat pemulihan sukarela (4,830 orang), di PPDP (1,449 orang) dan yang teramai adalah klien dalam komuniti iaitu seramai 60,659 orang.

"Merawat klien dalam komuniti tidak semudah merawat penagih di dalam institusi, ini kerana klien di luar institusi melakukan tugasan seharian sama seperti komuniti lain berserta pengawasan daripada AADK setiap daerah selama tempoh 24 hingga 36 bulan.

"Jika diteliti, nisbah seorang pegawai adalah 25 klien (berdasarkan Piawai Antarabangsa), namun di Malaysia, 1 pegawai: 200 klien," katanya.

Tambahnya, sebagai langkah ke hadapan, UPM dan AADK turut bekerjasama dalam membangunkan sistem pengurusan klien secara digital menggunakan aplikasi iPulih.

"Sistem tersebut merupakan kombinasi modul rawatan psikososial SLC dan modul-modul rawatan lain seperti kaunseling, 12 langkah, kepulihan awal, pencegahan relapse dan kelompok sokongan sosial.

"Pendekatan baharu ini dirancang untuk pelaksanaan yang lebih menyeluruh mengambil kira situasi pendekatan norma baharu fasa pandemik Covid-19," katanya.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Datuk Dr Zulkifli Idrus dengan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Nor Azmie Diron.